DAMSYIK: Pasukan Israel menceroboh masuk ke sebuah kawasan kampung di Quneitra, barat daya Syria dan menyerbu rumah di kawasan berkenaan dalam siri serangan terbaharu rejim Zionis di negara itu.
Menurut agensi berita SANA, pasukan Israel yang menggunakan enam kenderaan Humvee bergerak dari kawasan barat Al-Tal Al-Ahmar menuju kampung Ain al-Zouan, di mana mereka menyoal siasat dan menyerbu rumah seorang penduduk kampung.
Pasukan Israel masih dikerahkan di kawasan itu dan sebab serbuan masih belum diketahui, menurut laporan itu.
Pasukan Israel turut menjalankan serbuan hampir setiap hari ke wilayah Syria, terutamanya di kawasan luar bandar Quneitra, dengan menahan orang awam, menubuhkan sekatan jalan raya, menyoal mereka yang melalui kawasan itu dan memusnahkan tanah pertanian.
Selepas kejatuhan rejim Bashar al-Assad pada akhir 2024, Israel mengembangkan penguasaan ke atas Bukit Golan dengan merampas zon penampan yang dijadikan kawasan bebas tentera, satu tindakan yang melanggar perjanjian pemisahan 1974.
Penduduk Syria berkata, pelanggaran berterusan oleh Israel menjejaskan usaha memulihkan kestabilan dan menghalang usaha menarik pelaburan untuk memulihkan ekonomi negara itu.










