NGO bimbang wujud ladang babi ‘haram’

NGO bimbang wujud ladang babi ‘haram’

MOHD. YUSAIMI MD. YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu menjalankan penguatkuasaan yang ketat bagi mengelak kewujudan ladang ternakan babi ha­ram di luar Selangor.

Presiden Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (Grass Malaysia), Mohd Yusaimi Md. Yusof berkata, keputusan Kerajaan Negeri Selangor menutup ladang ternakan babi sedia ada dan penggantungan kepada import sepenuhnya, berpotensi mendorong pembukaan ladang haram di negeri lain.

Beliau berkata, secara teori keputusan kerajaan negeri itu sepatutnya dapat mengurangkan tekanan terhadap pengeluaran domestik di Selangor, namun realiti pelaksanaannya mungkin berbeza.

Katanya, jika bekalan import tidak cukup atau harga terlalu tinggi, permintaan tetap wujud khususnya bagi pengguna di Selangor dan Kuala Lumpur.

Justeru, beliau berkata, tidak menolak kemungkinan senario itu meningkatkan risiko pembukaan ladang haram di kawasan lain.

“Apabila permintaan tinggi dan penguatkuasaan diperketatkan di sesuatu kawasan, aktiviti haram cenderung ‘berhijrah’ ke lokasi yang mempunyai pemantauan lebih longgar.

“Tanpa pemantauan ketat di sempadan negeri, risiko pembukaan ladang haram bagi memenuhi pasaran gelap Selangor tetap ada.

“Malah sebelum ini, walaupun peraturan lebih longgar berbanding sekarang, ladang haram tetap wujud,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Kelmarin, Selangor meng­umumkan akan mengimport bekalan daging babi dari negeri lain bagi memenuhi permintaan dalam kalangan masyarakat bukan Islam.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyua­rat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), dan ia selaras dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Amirudin berkata, setakat ini, 70 peratus daripada keperluan masyarakat bukan Islam bagi daging babi adalah dari sumber import, dan susulan keputusan MMKN itu, keperluan daging itu akan diimport sepenuhnya oleh pihak industri terbabit.

Dalam pada itu, Mohd Yusaimi turut suarakan kebimbangan terhadap impak alam sekitar jika berlaku pertambahan populasi ladang ternakan di negeri jiran tanpa sistem rawatan sisa moden seperti Sistem Penternakan Babi Moden (MSF).

“Kita bimbang sekiranya sisa ladang babi di negeri berjiran dibuang ke sungai yang bersempadan atau mengalir masuk ke Selangor, tindakan penguatkuasaan akan menjadi lebih sukar.

“Kerajaan negeri perlu berunding dengan kerajaan negeri jiran bagi memastikan isu ini dapat diselaraskan, namun ia mungkin melibatkan kerenah birokrasi yang panjang,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN