Terminal bas Lembah Sireh ketinggalan zaman

Terminal bas Lembah Sireh ketinggalan zaman, tidak mesra pengguna

KEADAAN Terminal Bas Lembah Sireh, Kota Bharu, Kelantan masih sama sejak mula beroperasi pada 2014. – MINGGUAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Selepas lebih sedekad beroperasi, Terminal Bas Lembah Sireh di sini, yang sepatutnya menjadi mercu tanda pengangkutan awam di Kelantan bukan sahaja ketinggalan zaman, malah tidak mesra pengguna.

Tinjauan Mingguan Malaysia mendapati, kemudahan di terminal yang mula beroperasi pada 2014 itu masih kekal pada tahap lama tanpa peningkatan ketara meskipun menerima pertambahan pengguna pada musim perayaan dan cuti persekolahan.

Bukan itu sahaja, keadaan stesen bas itu masih terbuka, tanpa kemudahan pendingin hawa selain tiada kemudahan seperti mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

Ruang menunggu yang sempit, kerusi tidak mencukupi, persekitaran panas serta pergerakan kenderaan yang tidak terkawal menjadikan terminal itu ibarat ‘perangkap manusia’ pada waktu puncak.

BASAH SETIAP KALI HUJAN

Seorang pengguna, Liana Abdullah, 39, berkata, setiap kali hujan pakaian dan beg pakaiannya basah kerana terpaksa meredah hujan dari tempat parkir kereta ke bas, berikutan tiada laluan berbumbung.

Katanya, situasi itu menyebabkannya menutup beg pakaian menggunakan plastik sampah untuk mengelak basah.

“Mahu atau tidak hanya itu pilihan yang ada. Walaupun bersifat sementara, bagi pengguna tegar macam saya terminal ini seperti sudah kekal. Lagipun KB Sentral yang dicanang untuk dibina, belum berjalan,” ujarnya.

NAIK TARAF

Seorang pekerja swasta, Norazita Mohd. Nasir, 37, berkata, kerja-kerja menaik taraf terminal bas itu perlu segera dilakukan untuk memberikan keselesaan kepada pengguna.

Katanya, walaupun tidak menaiki pengangkutan awam itu, kawasan tersebut menjadi sesak terutama pada musim perayaan.

“Saya lihat kerusi dan tempat duduk menunggu pun tidak cukup dengan jumlah penum­pang yang ramai dan ditambah apabila ahli keluarga menemani anak mereka.

“Perkara ini perlu diberikan perhatian sewajarnya oleh kerajaan negeri. Sebelum ini, saya pernah menghantar anak ke sini untuk menaiki bas ke Shah Alam, Selangor, pada sebelah malam dan lihat persekitaran di sini kurang sesuai,” katanya.

IMEJ KELANTAN

Sementara itu, Presiden Persatuan Pemandu Pelancong Berlesen Kelantan, Wan Saiful Azwal Wan Mohammad berkata, kerajaan negeri perlu sentiasa menaik taraf kemudahan di kawasan Terminal Bas Lembah Sireh kerana ia membawa imej negeri ini.

Katanya, walaupun kemudahan itu bersifat sementara, namun penjagaan mesti dilaksanakan secara berkala.

“Tahap kebersihan dan keceriaan perlu diberikan perhatian selain penambahbaikan dalam soal kemudahan. Peranan Terminal Bas Lembah Sireh sama dengan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra kerana ia me­rupakan ‘laluan utama’ bagi pengguna pengangkutan awam di negeri ini,” ujarnya.

BINA KB SENTRAL TAHUN INI

Utusan Malaysia pada 15 Januari lalu melaporkan, Kerajaan Negeri Kelantan memaklumkan kerja-kerja pembinaan Projek Terminal Stesen Bas Bersepadu Kota Bharu Sentral (KB Sentral) di Tunjong bermula tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr. Izani Husin berkata, pada masa sama pelantikan kontraktor untuk projek itu dilakukan selewat-lewatnya bulan depan.

Katanya, kerajaan negeri sudah sudah menyenaraikan enam kontraktor untuk me­nyiapkan projek berkenaan sebelum disenarai pendek seterus­nya di­muktamadkan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN