PETALING JAYA: Malaysia kini mempunyai ketersambungan penerbangan terus ke 126 bandar raya di 37 negara dan wilayah, dengan lebih 3,343 penerbangan antarabangsa membawa sehingga 674,000 penumpang ke 13 bandar raya setiap minggu.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King berkata, ASEAN kekal sebagai penyumbang terbesar dengan 1,799 penerbangan terus setiap minggu.
Selain itu, 37 penerbangan transit di Bali, Phuket dan Singapura sebelum meneruskan perjalanan ke Malaysia, menjadikan jumlah keseluruhan 1,836 penerbangan mingguan.
“Indonesia, Singapura dan Thailand mencatat bilangan penerbangan mingguan tertinggi ke Malaysia, masing-masing 679, 470 dan 331 penerbangan.
“Secara keseluruhan, penerbangan dari ASEAN boleh membawa sehingga 335,000 penumpang, lebih sepertiga daripadanya dari Indonesia. Termasuk juga penumpang Australia melalui penerbangan transit di Bali,” katanya.
Sumber penerbangan antarabangsa kedua terbesar ialah Asia Timur dengan 818 penerbangan mingguan, diikuti Asia Selatan (394), Timur Tengah (128), Oceania (106), Eropah (43), Asia Tengah (14) dan Afrika (4).
China mendahului Asia Timur dengan 623 penerbangan mingguan membawa kira-kira 124,200 penumpang, diikuti Jepun dengan 70 penerbangan hampir 20,000 penumpang dan 19 penerbangan transit melalui Taipei.
Asia Selatan boleh membawa sehingga 77,500 penumpang seminggu, manakala Timur Tengah hampir 40,000 penumpang.
“India mencatat hubungan udara paling kukuh dengan Malaysia di Asia Selatan, dengan 232 penerbangan mingguan membawa sehingga 44,400 penumpang.
“Manakala di Timur Tengah, 128 penerbangan mingguan dipimpin Emiriah Arab Bersatu dengan 53 penerbangan membawa sehingga 16,000 penumpang,” katanya.
Seramai 76 syarikat penerbangan dari 37 negara dan wilayah kini beroperasi ke Malaysia, termasuk sembilan syarikat baharu tahun ini, dengan sebanyak 40 laluan antarabangsa baharu dilancarkan pada 2025.
“Selain lima syarikat penerbangan tempatan, China menonjol dengan 16 syarikat penerbangan yang menguatkan hubungan udara dan membuka lebih banyak bandar sekunder,” katanya.
Daripada 13 bandar raya antarabangsa, Kuala Lumpur kekal sebagai pintu masuk utama dengan 2,775 penerbangan mingguan dan kapasiti lebih 570,000 penumpang.
Pulau Pinang kedua paling sibuk dengan 287 penerbangan dan 53,000 penumpang, diikuti Kota Kinabalu (132 penerbangan, 24,000 penumpang).
Johor Bahru menerima 49 penerbangan, manakala Kuching 41 penerbangan setiap minggu. – UTUSAN










