KUALA LUMPUR: Perdagangan Malaysia dengan negara ASEAN mencatatkan peningkatan 1.7 peratus kepada RM709.08 bilion sepanjang tahun lalu yang didorong oleh pertumbuhan eksport yang meningkat 4.8 peratus kepada RM418.78 bilion.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ia disokong oleh lonjakan permintaan terhadap barangan elektrik dan elektronik (E&E), jentera, kelengkapan dan peralatan serta barangan optik dan saintifik.
“Import pula menyusut 2.6 peratus kepada RM290.30 bilion berikutan penurunan ketara permintaan domestik terhadap keluaran petroleum, kimia dan bahan kimia serta kelengkapan pengangkutan.
“Penyusutan itu turut dipengaruhi kejatuhan harga pasaran petroleum, apabila harga minyak mentah menurun daripada sekitar AS$80 setong pada 2024 kepada AS$60 setong pada 2025,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman rasmi Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan Tan Kok Wa (PH-Cheras) mengenai perbandingan perdagangan Malaysia dengan rakan ASEAN dan bukan ASEAN termasuk langkah-langkah memperkukuh perdagangan intra-ASEAN.
Johari berkata, bagi 2024, jumlah perdagangan Malaysia dengan ASEAN meningkat 6.1 peratus berbanding 2023 kepada RM765.03 bilion, mewakili 29 peratus daripada keseluruhan perdagangan Malaysia yang bernilai RM2.879 trilion.
“Dalam tempoh sama, nilai eksport Malaysia ke ASEAN meningkat 4.1 peratus kepada RM438 bilion, manakala import dari rantau itu turut berkembang 8.9 peratus kepada RM327.12 bilion.
“Singapura, Thailand dan Indonesia kekal sebagai tiga destinasi utama eksport dan import Malaysia dalam kalangan negara ASEAN,” katanya.
Beliau berkata, pada 2024, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) gabungan 11 negara anggota ASEAN termasuk Timor-Leste meningkat daripada AS$3.8 trilion kepada AS$3.9 trilion, sekali gus mengekalkan kedudukan ASEAN sebagai ekonomi kelima terbesar di dunia, dengan sumbangan sekitar 3.5 peratus kepada KDNK global.
Katanya, prestasi itu mencerminkan kekuatan kolektif ASEAN sebagai sebuah pasaran serantau yang dinamik, berdaya tahan dan semakin berpengaruh dalam landskap ekonomi global.
“Dari sudut perdagangan intra-ASEAN, perdagangan dalam kalangan negara-negara anggota pada 2024 terus mencatatkan bahagian terbesar dalam keseluruhan perdagangan ASEAN iaitu sebanyak 21.4 peratus.
“Eksport intra-ASEAN menyumbang 22.5 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport ASEAN, manakala import intra-ASEAN merangkumi 20.3 peratus daripada jumlah keseluruhan import ASEAN,” katanya. – UTUSAN










