KUALA LUMPUR: Pergolakan politik Myanmar menyebabkan Malaysia berdepan masalah limpahan 200,000 pelarian Rohingya yang melarikan diri ke negara ini.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, selain itu India turut menerima banyak kehadiran pelarian Rohingya kerana berkongsi sempadan sepanjang 1,648 kilometer (km) dengan Myanmar melibatkan empat negeri.
Katanya, Malaysia dan India justeru itu berpendirian mahu Myanmar kekal aman kerana ketidakstabilan dengan kedua-dua negara sentiasa bertukar pandangan serta cadangan bagi menangani situasi tersebut.
“Malaysia dan India bekerjasama memastikan keadaan tidak stabil di Myanmar dapat ditangani melalui rundingan dengan kerajaan junta Myanmar.
“Walaupun Myanmar baru-baru ini mengadakan pilihan raya, Malaysia sebagai anggota ASEAN tidak memberikan sokongan penuh kerana proses pilihan raya tersebut didapati tidak menyeluruh, tidak telus dan tidak dapat dilaksanakan di beberapa kawasan yang masih di bawah kawalan tentera.
“Pendekatan berhemah perlu digunakan kerana Myanmar mempunyai pendekatan sendiri termasuk pelan hala tuju lima perkara mereka walaupun ASEAN menggesa pematuhan Konsensus Lima Perkara,” katanya ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) mengenai hasil perdagangan dan keselamatan serantau susulan lawatan Perdana Menteri India baru-baru ini ke Malaysia dan langkah-langkah bersama boleh diambil terhadap pelaksanaan tarif oleh Amerika Syarikat (AS) serta usaha memulihkan demokrasi dan keamanan di Myanmar.
Mohamad berkata, keadaan Myanmar yang tidak berada dalam keadaan aman memberi kesan buruk kepada kedua-dua negara yang mempunyai hubungan diplomatik dan perdagangan bersama.
“Segala usaha ini adalah bagi memastikan hubungan dua hala Malaysia-India terus kukuh serta memberi impak positif terhadap kestabilan serantau dan pengurusan isu pelarian di rantau ini,” katanya.
Mengulas mengenai rundingan tarif AS, Mohamad berkata, India dan Malaysia tidak berunding secara berkelompok dengan AS.
“Sebaliknya, AS memilih untuk berunding secara berasingan dengan setiap negara yang berurusan dengannya.
“AS tidak berunding secara multilateral, AS tidak suka berbincang berkelompok tapi secara unilateral. Jadi kita berunding dengan AS secara sendiri dan India juga sendiri.
“Tapi kami bertukar-tukar jugalah pandangan apa perlu kita lakukan kerana India telah menandatangani framework (rangka kerja) yang belum final (muktamad), kita (Malaysia) tanda tangan MoU tapi belum runding terma-terma secara khusus,” katanya. – UTUSAN










