Rumah Ronald McDonald jadi tempat berteduh

Rumah Ronald McDonald jadi tempat berteduh

Rumah Ronald McDonald (RMH) di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM UKM), semalam. – UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kemudahan di HCTM UKM harapan keluarga pesakit kanak-kanak

KUALA LUMPUR: Bagi ibu bapa yang menempuhi detik getir menjaga anak sakit kronik, tidur di atas kerusi hospital atau di dalam kereta sudah menjadi kebiasaan, asalkan dapat berada dekat dengan si kecil yang sedang bertarung nyawa.

Namun, di tengah kelelahan dan doa yang tidak pernah putus, kewujudan Rumah Ronald McDonald (RMH) di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM(HCTM UKM) bagaikan sinar harapan baharu.

Di sinilah ramai keluarga menemui teduhan, kekuatan dan sedikit ketenangan untuk terus berjuang bersama anak-anak mereka.

Sejak beroperasi lebih kurang tiga dekat di Malaysia, RMH yang merupakan program di bawah Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC) Malaysia membantu kanak-kanak dan keluarga pesakit yang memerlukan melalui pelbagai program kesihatan, pendidikan dan kebajikan

Antara inisiatif RMH selain menyediakan penginapan selesa ialah pek kembali ke sekolah untuk keluarga miskin, Gift of Smile kepada pesakit sumbing bibir dan lelangit dan sensory room bagi kanak-kanak berkeperluan khas.

Pengurus Besar RMHC Malaysia, Mohd. Nasri Mohd. Nordin berkata, kehadiran ibu bapa di sisi anak semasa rawatan bukan sahaja memberi kekuatan emosi malah membantu proses pemulihan pesakit dengan lebih baik.

Katanya, RMHC Malaysia percaya pesakit kanak-kanak memerlukan sokongan keluarga di sisi mereka ketika menerima rawatan.

“Kehadiran ahli keluarga terutamanya ibu dan ayah dapat membantu proses pemulihan anak-anak.

“Oleh itu, kami menyediakan ruang yang selamat dan selesa di dalam kawasan hospital agar keluarga berada dekat dengan pesakit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena Program Bulan Komuniti McDonald’s Malaysia & RMHC Malaysia yang diadakan di RMH HCTM UKM, baru-baru ini.

Mohd Nasri Mohd Nordin (kiri) dan Timbalan Pengarah Diagnostik dan Sains Kesihatan Hospital Pakar Kanak-kanak UKM, Datin Dr. Anita Sulong (tengah) ketika bergambar pada Program Lawatan Media ke Rumah Ronald McDonald (RMH) di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM UKM) baru-baru ini.

Program tahunan itu meraikan semangat komuniti serta memperkukuh tanggungjawab sosial korporat McDonald’s Malaysia dalam menyantuni masyarakat di seluruh negara khususnya dalam aspek kebajikan dan kesihatan kanak-kanak.

Mengulas lanjut, Mohd. Nasri berkata, RMHC Malaysia ditubuhkan pada Februari 1990 sebagai sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang berdedikasi untuk membantu meningkatkan tahap kesihatan dan kesejahteraan kanak-kanak kurang bernasib baik di seluruh negara.

“Sejak lebih tiga dekad lalu, RMHC Malaysia telah membantu lebih daripada 200,000 kanak-kanak melalui pelbagai inisiatif di bawah tiga teras utama iaitu kesihatan, pendidikan dan kebajikan.

“Teras kepada usaha kami adalah komitmen untuk menyediakan perkhidmatan penting yang dapat mengurangkan beban keluarga, mengukuhkan hubungan kekeluargaan serta menyokong proses penyembuhan apabila anak memerlukan rawatan, dikelilingi kasih sayang keluarga mereka,” katanya.

Beliau berkata, RMH di HCTM UKM merupakan rumah pertama seumpamanya di Asia Tenggara yang dibuka pada tahun 1999 bagi membantu keluarga yang anak mereka sedang menerima rawatan di hospital awam utama negara.

“Rumah ini mempunyai 18 bilik penginapan berhawa dingin, lengkap dengan kemudahan seperti dapur, ruang makan, ruang tamu TV, sudut bacaan, taman permainan, bilik permainan kanak-kanak, gim mini, bilik dobi dan surau.

“Semua ini disediakan bagi mewujudkan suasana yang selamat, selesa dan menenangkan seperti di rumah sendiri,” katanya.

Katanya, sejak mula beroperasi, rumah itu telah menjadi penginapan sementara kepada hampir 1,000 keluarga setiap tahun.

“Kemudahan tersebut bukan sekadar menjadi tempat menginap, malah turut berfungsi sebagai sumber kekuatan dan sokongan emosi buat ibu bapa yang sama-sama menemani anak-anak mereka sepanjang tempoh rawatan,” katanya.

Teduhan kasih

Bagi suri rumah, Nur Hazwani Harun, 39, RMH bukan sekadar tempat tidur, tetapi ruang yang menyelamatkan dirinya daripada keletihan fizikal dan emosi.

Katanya, sejak anaknya dimasukkan ke hospital, rumah itu menjadi tempat berteduh penuh makna buatnya.

“Sebelum ni saya pernah tidur di dalam kereta berdekatan hospital sebab waktu melawat terhad. Tapi bila dapat duduk sini, saya boleh pantau anak setiap masa dan rasa lebih tenang,” katanya.

Suara Hazwani bergetar ketika menceritakan bagaimana setiap malam di rumah itu memberinya kekuatan baharu untuk terus kuat di sisi anak.

“Bagi kami, rumah ini lebih daripada sekadar tempat tinggal. Ia tempat untuk tenangkan fikiran, kumpul tenaga dan kekuatan untuk terus jaga anak,” katanya.

Hazwani juga mengakui, inisiatif RMHC Malaysia wajar diteruskan kerana manfaatnya terlalu besar kepada masyarakat.
“Saya nak ucap terima kasih kepada pihak McDonald’s dan RMHC Malaysia sebab fikir tentang nasib ibu bapa macam kami.

“Kadang orang nampak kami kuat, tapi sebenarnya banyak benda kami tanggung sendiri. Rumah ini betul-betul meringankan beban,” ujarnya.

Selain itu, peniaga, Teruna Timpal, 51, berkata, rumah itu tidak hanya menjimatkan malah dapat sentiasa dekat dengan anaknya yang sedang mendapatkan rawatan kanser leukemia.

Katanya, sejak anaknya dimasukkan ke wad, dia terpaksa berulang ke hospital untuk rawatan, sekali gus memberi tekanan kewangan.

“Kalau berulang-alik dari Sepang ke hospital, sekali perjalanan pun boleh mencecah RM250, belum termasuk makan dan minyak kereta.

“Tapi dengan adanya Rumah Ronald McDonald (RMH), saya bukan sahaja dapat berjimat, malah boleh sentiasa dekat dengan anak saya,” katanya.

Teruna turut menyifatkan kemudahan itu sebagai satu rahmat besar buat ibu bapa yang berdepan ujian menjaga anak sakit kronik, selain menjadi ruang sokongan emosi antara sesama penghuni yang melalui pengalaman sama.

“Kadang-kadang bila duduk sini, kita jumpa ibu bapa lain yang senasib. Dari situ kita saling bagi semangat, kongsi pengalaman dan doa agar anak masing-masing sembuh,” ujarnya.

Bagi setiap penghuni Rumah Ronald McDonald, setiap senyuman kecil dan setiap doa di ruang itu membawa makna yang besar kerana di sebalik pintu rumah kecil itu, wujud harapan yang tidak pernah padam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN