Dua beradik pilih jaga silaturahim sempena tahun baharu

Dua beradik pilih jaga silaturahim sempena tahun baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tahun baharu memberi makna yang berbeza bagi setiap orang.

Ada yang menyambutnya dengan penuh harapan dan kegembiraan .

Bagi Izlan, (bukan nama sebenar) tahun baharu 2026 bukan sekadar pertukaran angka tetapi peluang untuk membuka lembaran baru dalam hubungan abang dan adik kandungnya yang retak sejak dua tahun lalu.

Hubungan mereka yang pernah terputus akibat tekanan hidup dan kegagalan memahami keadaan antara satu sama lain, akhirnya terjalin semula.

Bukan kerana masalah sudah hilang, tetapi kerana masing-masing sedar tentang erti sebenar hubungan kasih sayang antara adik beradik.

Izlan yang saya temui baru-baru ini berkata, mereka tiga beradik, abang dan adik bongsunya, Sham dan Razali, (bukan nama sebenar) yang dibesarkan dengan kasih sayang itu diuji bukan lagi dengan hal-hal kecil tetapi lebih besar,

Ini terutamanya melibatkan harta, wang sehingga kepercayaan yang menjadi konflik.

Membuka cerita kata Izlan, sengketa bermula daripada isu kenderaan atas nama adik bongsu apabila abang sulung tidak mampu melunaskan bayaran bulanan .

Razali yang tertekan dan didesak bank untuk membuat bayaran terus mendesak abang sulung.

Desakan yang berterusan akhirnya membuatkan abang sulung menjauhkan diri .

Bukan kerana lari dari tanggungjawab, tetapi terlalu kecewa dan terhimpit.

Namun takdir mengubah segala-galanya. Peristiwa kemalangan yang menimpa Razali dua hari sebelum memasuki tahun baharu 2026, menjadi titik kesedaran bagi kedua-duanya.

Menurut Izlan, tahun baharu memberi keinsafan untuk kedua-duanya berbaik semula.

Menyingkap kisah di zaman kanak-kanak, kata Izlan, hubungan mereka tiga beradik sangat rapat .

Ini lebih-lebih lagi selepas kematian ibu mereka ketika Razali berusia lima tahun.

Mereka dibesarkan oleh bapa dengan kasih sayang dan kepercayaan, saling membantu tanpa banyak soal.

Namun apabila dewasa, kasih sayang dan kepercayaan mereka diuji oleh salah faham dan tekanan hidup.

Abang sulung membeli kenderaan menggunakan nama adik bongsu.

Pada awalnya, semuanya berjalan lancar sehingga syarikat tempat abang sulung bekerja gulung tikar.

Keadaan ini membuatkan kehidupan abang sulung agak sukar.

Hutang bertambah dan kesempitan hidup datang bertalu-talu.

Bukan sahaja bayaran rumah, tetapi kenderaan yang menggunakan nama Razali mula tertunggak.

Razali mula resah apabila notis bank sampai ke rumahnya.

Sejak bayaran kenderaan mula tertunggak, hidup Razali tidak lagi tenang. Hampir setiap hari menerima panggilan daripada pihak bank.

Surat bertulis menyusul ke rumah. Namanya tertera sebagai peminjam. Walaupun kenderaan itu digunakan oleh abang sulung, segala risiko jatuh di bahunya.

Dia bimbang jika kenderaan ditarik, namanya akan disenarai hitam.

“Dalam keadaan terdesak, adik sentiasa berharap abang akan melunaskan bayaran. Namun tidak seperti diharapkan. Jawaban diterima adik tetap sama, abang minta diberi masa,” katanya.

Menurut Izlan ketika itu adik bongsu mula hilang sabar.

Dalam keadaan tertekan dan buntu, adik bongsu menghubunginya meminta pertolongan.

“Adik bongsu berharap saya menjadi orang tengah. Memujuk abang sulung agar segera melunaskan tunggakan kenderaan yang semakin bertambah.

“Pada awalnya saya berpihak kepada adik bongsu. Dalam keadaan ini, jelas abang perlu bertanggungjawab dan saya sama-sama mendesaknya penuh dengan tuntutan tanpa mahu mendengar sebarang penjelasan,” ujarnya penuh penyesalan.

Namun selepas beberapa kali pertemuan dan perbualan panjang, Izlan mula memahami.

Abang sulung sedang melalui fasa titik paling rendah dalam hidupnya.

Bukan sahaja masalah kehilangan pekerjaan, tetapi beban hutang, keperluan keluarga dan tekanan dari darah daging sendiri.

“Abang sulung bukan tidak mahu membayar, tetapi dia tidak ada punca pendapatan untuk melunaskan bayaran.

“Diamnya disalah erti sebagai lari daripada tanggungjawab,” ujarnya.

Sambung Izlan, sejak itu dia mula menukar pendekatan dengan memberi nasihat kepada adik bongsu.

Dia meminta adik bongsu memberi sedikit ruang kepada abang mereka.

“Saya mencadangkan bayaran disusun semula dan dibincangkan secara bersama untuk jalan sementara,” ujarnya lagi.

Namun adik bongsunya tetap dengan pendirian sama. Sukar untuk bertolak ansur.

Di situlah konflik antara abang sulung dan adik bongsunya semakin mendalam.

Hubungan yang dahulunya rapat, kini menjadi dingin.

Salam jarang berbalas, pertemuan dielakkan.

Razali terus berasa dikhianiti, manakala abang sulung terus menjauhkan diri.

Di pihak Izlan, dia tidak pernah berputus asa untuk menyatukan kedua-dua insan yang disayangi.

Dua tahun berlalu.

Sehinggalah pada 29 Disember lalu, Razali ditimpa kemalangan.

Kemalangan itu menjadi titik pertemuan semula abang sulung dan adik bongsu.

Ketika itu juga masing-masing mula sedar dan faham. Wang , harta tidak sama nilainya dengan hubungan keluarga.

Masing-masing belajar dari kesilapan. Sebagai orang tengah, akui Izlan dia juga belajar sesuatu.

“Dalam situasi yang dihadapi, saya seharusnya tidak turut sama mendesak, tetapi lebih perlu memberi kefahaman dan tidak berpihak kepada sesiapa.

“Keluarga sepatutnya menjadi tempat berlindung, bukan sumber tekanan.

“Alhamdulilah, kami bertiga mula belajar bercakap dengan hati, bukan lagi dengan emosi,” ujarnya yang tidak putus-putus mengucapkan rasa syukur.

Kisah Sham, Izlan dan Razali ini wajar dijadikan pengajaran bahawa dalam urusan melibatkan keluarga kepercayaan dan empati perlu berjalan seiring tanggungjawab.

Peranan Izlan sebagai orang tengah juga mengajar kita bahawa menjadi pendamai bukan sekadar menyampaikan tuntutan tetapi perlu mendengar kedua-dua pihak dengan terbuka.

“Saya bersyukur, abang dan adik memilih untuk menjaga silaturahim daripada terus menyimpan dendam.

“Belajarlah menghargai keluarga kerana mereka tiada galang gantinya,” ujarnya mengakhiri perbualan lewat petang itu.

Sesungguhnya, terdapat banyak ayat quran dan hadis yang menekankan pentingnya menjaga hubungan baik , terutama antara saudara dan adik -beradik.

Sebagaimana Firman Allah SWT bermaksud, “Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan ) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat.-( Surah Al-Hujurat (49):10).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×