SOSMA perlu kekal, PDRM perlukan ‘senjata’ perundangan kukuh

SOSMA perlu kekal, PDRM perlukan ‘senjata’ perundangan kukuh

AYOB KHAN MYDIN PITCHAY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu terus dibekalkan dengan ‘senjata’ perundangan mencukupi melalui undang-undang pencegahan seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) bagi membolehkan tindakan berkesan diambil demi keamanan serta kedaulatan negara.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ancaman kumpulan atau individu berpegang kepada ideologi ekstremis dan militan yang berpotensi menggugat ketenteraman awam serta kedaulatan negara tidak boleh dipandang remeh dengan membiarkan mereka bergerak bebas tanpa kawalan.

Katanya, semua pihak termasuk ahli politik, peguam, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik serta masyarakat umum digesa supaya memberi sokongan dan kepercayaan penuh kepada PDRM khususnya Cawangan Khas dalam usaha menangani ancaman keselamatan negara.

“Sokongan itu termasuk memastikan PDRM terus dibekalkan dengan ‘senjata’ perundangan yang mencukupi melalui undang-undang pencegahan seperti SOSMA bagi membolehkan tindakan awal dan berkesan diambil demi memelihara keamanan serta kedaulatan negara,” katanya dalam hantaran Facebook beliau hari ini.

Beliau mengulas kritikan terhadap penggunaan undang-undang pencegahan seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebelum ini dan SOSMA yang dilihat daripada satu sudut semata-mata oleh sesetengah ahli politik, pengamal undang-undang dan kumpulan hak asasi.

Ayob Khan berkata, ancaman kumpulan atau individu yang berpegang kepada ideologi ekstremis dan militan yang berpotensi menggugat ketenteraman awam serta kedaulatan negara tidak boleh dipandang remeh dengan membiarkan mereka bergerak bebas tanpa kawalan.

Beliau berkata, tindakan tegas perlu diambil terhadap anasir sedemikian memandangkan jaringan kumpulan ekstremis yang sering beroperasi secara sulit dan terancang.

Menurut beliau, kritikan segelintir pihak mendakwa PDRM bersekongkol dengan kuasa Barat untuk memburukkan imej Islam adalah tidak berasas serta tidak berpandukan kepada penilaian keselamatan yang menyeluruh.

“PDRM bukan institusi agama. Namun, dapatan kajian Cawangan Khas (CK) bersama agensi keselamatan lain di peringkat nasional, serantau dan antarabangsa, selari dengan ketetapan Majlis Fatwa Kebangsaan, jelas mengaitkan ideologi kumpulan pengganas seperti Al-Qaeda dan Jemaah Islamiyah (JI) dengan fahaman Salafi Jihadi ,” katanya.

Ayob Khan turut berkongsi pengalaman serta hasil risikan Cawangan Khas ketika bertugas di Bahagian Anti Pengganas (E8), Bukit Aman.

Menurutnya, serangan bom oleh kumpulan pengganas Jemaah Islamiyah (JI) di Bali, Indonesia pada 12 Oktober 2002 merupakan serangan bunuh diri pertama di rantau Asia Tenggara, mengorbankan 202 nyawa dan mencederakan kira-kira 200 yang lain.

“Apa iktibar boleh kita ambil dari insiden serangan di Indonesia? Jangan sesekali memandang remeh isu keselamatan dan kemampuan kumpulan atau individu mempunyai ideologi ekstremis atau militan. Mereka perlu diambil tindakan, jangan dibiarkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN