Migrasi budaya, seni jadi kekuatan Selangor tarik pelancong

Migrasi budaya, seni jadi kekuatan Selangor tarik pelancong

AMIRUDIN Shari memukul gendang sebagai simbolik perasmian Festival Selangor @ Batu Laut 2025 dekat Pantai Batu Laut, Tanjong Sepat, di Kuala Langat, Selangor, semalam. – mingguan/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Selangor kekal menjadi tumpuan kepelbagaian budaya dan seni sekali gus menjadi kekuatan bagi negeri itu dalam sektor pelancongan tersebut yang ditambah dengan penganjuran Festival Selangor@ Batu Laut 2025 bermula Khamis lalu.

Ia berikutan negeri itu menjadi destinasi migrasi berskala besar sejak ratusan tahun lalu yang secara tidak langsung turut membawa adat dan budaya setiap etnik atau masyarakat sekali gus mewujudkan keunikan dalam kepelbagaiannya.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Selangor merupakan kawasan diminati dan menjadi tumpuan kepada masyarakat di seluruh dunia yang menyumbang kepada peningkatan populasi sehingga dua juta dalam tempoh 10 tahun.

“Sebagai contoh, pada 2018, angka itu meningkat kepada 6.8 juta dan hari ini Selangor mencatatkan lebih 7.4 juta penduduk. Kehadiran mereka tidak hanya datang untuk mencari kerja atau menggerakkan ekonomi.

“Sebaliknya kehadiran mereka turut bersama-sama kebudayaan dan kesenian dalam kehidupan masing-masing. Negeri ini menjadi kuat kerana kita bersedia menjadi tumpuan kepada semua.

“Di samping bersedia meraikan kebudayaan lain yang bersesuaian diamalkan di dalam negara atau negeri ini, kita mempertahankan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan sebagai contoh, memberikan peluang untuk semua berekspresi selagi tidak menggugat kestabilan, keamanan dan kemakmuran negara,” katanya dalam ucapan perasmian Festival Selangor@ Batu Laut 2025, semalam.

Ketua Pengarah JKKN, Mohd. Amran Mohd. Haris dalam ucapan alu-aluannya berkata, penganjuran Festival Selangor@ Batu Laut 2025 sejajar dengan hasrat Dasar Pelancongan Negara (DPN) 2020-2030 untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan budaya pilihan di peringkat antarabangsa.

Jelasnya, Kementerian Pelan­congan, Seni dan Budaya komited menyediakan sokongan termasuk kewangan kepada penganjur dan pengguna seni budaya melaksanakan pelbagai program atau aktiviti berkaitan.

“Untuk rekod, pada tahun 2024, sebanyak RM3.5 juta disalurkan kepada 63 permohonan persatuan dan syarikat seni budaya bagi melaksanakan program di negeri Selangor. Tahun ini, sehingga Julai 2025 sebanyak RM1.7 juta disalurkan kepada 23 permohonan untuk melaksanakan program sekaligus membantu menyemarakkan aktiviti seni dan budaya di Selangor.

“Di bawah Bantuan Insentif Seni Kewangan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara pada tahun 2025, JKKN telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM95,000 kepada 18 persatuan seni budaya di Selangor,” ujarnya.

Festival tersebut menerima hampir 100,000 pengunjung dari seluruh ne­geri dan acara kemuncak pada malam tadi pula dikunjungi lebih 10,000 anak muda melalui pelbagai aktiviti disediakan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN