PUTRAJAYA: Program Jom@Coop 2025 adalah salah satu wahana untuk menyemai kesedaran dan memperkenalkan koperasi sebagai wadah ekonomi yang mampan.
Sepanjang siri Jom@Coop yang dilaksanakan di 50 lokasi seluruh negara sejak awal tahun, lebih 5,500 peserta telah memperoleh ilmu, maklumat dan bimbingan secara langsung daripada Institut Koperasi Malaysia (IKMa), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), ANGKASA, serta Bank Rakyat, CoopBank Pertama, KoopSahabat, Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM), Koperasi Warga IKMa-KOIKMa dan agensi-agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Menerusi program ini, penekanan juga diberikan tentang peri pentingnya kepimpinan koperasi yang berilmu serta keperluan untuk koperasi mengadaptasi perubahan zaman, khususnya dalam aspek digitalisasi.
Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R. Ramanan, program ini adalah medium untuk mendengar denyut nadi koperasi rakyat, menyampaikan ilmu pengetahuan, maklumat dan penerangan secara terus kepada masyarakat.
“Inisiatif ini saya lihat bukan sahaja untuk menyampaikan ilmu bahkan juga sebagai satu jaringan kerjasama antara IKMa dengan agensi-agensi di bawah KUSKOP dalam menyantuni rakyat.
“Saya difahamkan sepanjang enam bulan pelaksanaan, program Jom@Coop 2025 telah berjaya mendekati lebih 5,500 peserta. Bayangkan jumlah ilmu dan informasi mengenai perkhidmatan IKMa dan agensi yang telah disampaikan.
“Jika diuruskan dengan baik saya percaya banyak manfaatnya yang diperolehi oleh semua pihak terlibat terutamanya dari segi perancangan modal insan bermula daripada peringkat koperasi sendiri.
Sambutan yang baik dan menggalakkan daripada anggota koperasi serta awam umumnya ini merupakan cerminan terhadap minat yang tinggi terhadap peluang yang ditawarkan oleh sektor koperasi,” katanya ketika berucap merasmikan program penutup Program JomCoop 2025 di sini semalam yang turut dihadiri Pengerusi Lembaga IKMa, Onn Abu Bakar.
Ramanan berkata, program ini adalah sebahagian daripada agenda besar pembangunan koperasi negara yang telah digariskan dalam Dasar Koperasi Malaysia 2030 (DaKoM 2030).
Katanya, DaKoM 2030 menyasarkan pendapatan gerakan koperasi negara mencecah RM73 bilion setahun menjelang 2030 seiring dengan Pelan Transformasi Koperasi Malaysia (TransKoM 2021-2025) yang menekankan pembangunan modal insan koperasi yang berpengetahuan, berintegriti, berdaya maju dan berinovasi.
“Sepanjang siri Jom@Coop, penekanan juga diberikan tentang peri pentingnya kepimpinan koperasi yang berilmu serta keperluan untuk koperasi mengadaptasi perubahan zaman, khususnya dalam aspek digitalisasi.
“Tidak ketinggalan, Dasar Koperasi Negara turut menggariskan koperasi sebagai pemacu pembangunan sosio ekonomi rakyat. Kita mahu koperasi bukan sahaja menjadi entiti perniagaan, tetapi juga sebuah gerakan sosial yang inklusif menyantuni semua lapisan masyarakat termasuk belia, wanita, orang kurang upaya (OKU) dan komuniti luar bandar.
“Dalam konteks inilah, saya melihat kejayaan Jom@Coop 2025 sebagai antara penyokong utama dasar-dasar ini. Kita telah berjaya mengangkat agenda nasional ke peringkat komuniti akar umbi,” katanya. – UTUSAN










