KUALA LUMPUR: Sebarang perubahan kadar levi HRD Corp perlu diteliti kerana berisiko memberi implikasi kepada keupayaan pembiayaan latihan serta kesinambungan pembangunan modal insan negara khususnya bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, levi HRD Corp bukan cukai yang dibayar kepada kerajaan, sebaliknya merupakan dana latihan boleh dituntut semula oleh majikan bagi tujuan latihan pekerja.
“Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) memahami kebimbangan dibangkitkan khususnya dalam kalangan PMKS yang berdepan tekanan kos operasi serta cabaran ekonomi semasa.
“Bagi PMKS yang aktif menggunakan dana ini untuk latihan pekerja, kos satu peratus boleh dilihat sebagai pelaburan dalam pembangunan sumber manusia,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kesuma di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau mengulas cadangan Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya) yang mencadangkan supaya Kesuma mengurangkan kadar caruman levi HRD Corp daripada satu peratus kepada 0.5 peratus.
Pada masa sama, Chean Chung turut mencadangkan supaya kursus latihan kendiri dilaksanakan dengan kerjasama kerajaan dan institusi pendidikan.
Menurut Ramanan, pelaksanaan caruman levi HRD Corp pada kadar satu peratus adalah selaras dengan peruntukan di bawah Akta Pembangunan Sumber Manusia Berhad 2001 (Akta 612).
Katanya, pelaksanaan itu bertujuan menyediakan dana latihan yang mampan bagi menyokong pembangunan kemahiran serta meningkatkan produktiviti tenaga kerja.
“Majikan yang menggajikan 10 pekerja tempatan diwajibkan mendaftar dengan HRD Corp dan membayar levi latihan pada kadar satu peratus daripada jumlah gaji bulanan pekerja yang dibayar oleh majikan tanpa potongan gaji pekerja.
“Levi ini bertujuan menyediakan dana latihan yang mampan bagi menyokong pembangunan kemahiran dan peningkatan produktiviti tenaga kerja,” katanya. – UTUSAN










