PARLIMEN: Pindaan Akta 872 beri perlindungan menyeluruh pekerja gig

PARLIMEN: Pindaan Akta 872 beri perlindungan menyeluruh pekerja gig

R. RAMANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperluaskan perlindungan sosial kepada pekerja gig, kontrak dan separuh masa melalui penggubalan Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872).

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, penggubalan Akta 872 menyediakan rangka kerja perundangan bagi melindungi hak golongan pekerja berkenaan termasuk aspek upah, keselamatan dan mekanisme aduan.

Beliau berkata, kerajaan juga akan memperluas skop perlindungan sosial melalui pindaan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dengan memperkenalkan Skim LINDUNG 24 Jam.

Katanya, skim itu menyediakan perlindungan menyeluruh sepanjang tempoh penggajian termasuk kemalangan di luar waktu kerja yang tidak berkait secara langsung dengan tugas.

“Majlis Perundingan Gig juga akan ditubuhkan sebagai platform libat urus antara kerajaan, wakil pekerja Gig dan entiti kontrak bagi membincangkan kadar pendapatan minimum serta standard perlindungan yang akan diguna pakai,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Sh Mohamed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) yang meminta kementerian menjelaskan mengenai inisiatif terbaharu kerajaan dalam memperluaskan perlindungan sosial kepada pekerja tidak tetap.

Ramanan berakta, Skim LINDUNG 24 Jam menyediakan perlindungan menyeluruh sepanjang tempoh penggajian, termasuk kemalangan di luar waktu kerja.

“Antara manfaat disediakan ialah faedah perubatan, hilang upaya sementara dan kekal, elaun layanan sentiasa, faedah orang tanggungan, pengurusan mayat serta pemulihan dan pendidikan,” katanya.

Beliau memaklumkan, Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) turut ditambah baik melalui peningkatan elaun pencari kerja dan latihan kemahiran, selain pengenalan Elaun Mobiliti RM1,000 di bawah skim LINDUNG Kerjaya.

Katanya, elaun itu diberikan kepada individu yang menerima tawaran kerja melebihi 100 kilometer dari tempat tinggal asal bagi menggalakkan mobiliti tenaga kerja serta meningkatkan kebolehpasaran pencari kerja.

“Kita mahu memastikan pencari kerja tidak menolak peluang hanya kerana faktor jarak dan kos perpindahan,” katanya.

Tambah beliau, kementerian melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pula sedang meneliti penambahbaikan skim LINDUNG Kendiri, termasuk kajian kebolehlaksanaan Skim Keilatan dan Skim Pengembara bagi pekerja rentas sempadan.

Katanya, kajian melibatkan kira-kira 400,000 rakyat Malaysia yang berulang-alik bekerja di Singapura dan memerlukan perlindungan lebih sistematik.

“Kerajaan komited memastikan tiada pekerja yang tercicir daripada sistem perlindungan sosial negara termasuk mereka yang bekerja secara fleksibel dan tidak tetap,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN