KUALA LUMPUR: Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan memberi jaminan, bantuan sebanyak RM100,000 akan dikembalikan secara bersasar kepada masyarakat India yang memerlukan pada tahun ini.
Beliau yang juga jurucakap kerajaan Madani bagi masyarakat India berkata, bantuan itu akan disalurkan melalui Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) dengan agihan mengikut daerah berkepadatan tinggi, bukannya Parlimen.
Katanya, bantuan itu tidak dapat disalurkan sebelum ini kerana ada banyak program lain seperti pemerkasaan rumah ibadat, bantuan penyelenggaraan sekolah, program tadika, kemudahan awam dan pekerja ladang.
“Bagaimanapun, saya boleh beri jaminan, tahun ini kita pastikan untuk buat semula program sama, untuk berikan sedikit peruntukan tambahan secara bersasar kepada masyarakat India yang betul-betul memerlukan bantuan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Azli Yusof (PH-Shah Alam) yang meminta kementerian menjelaskan penyaluran dana khas melalui Mitra terus dibuat kepada masyarakat India yang memerlukan.
Ramanan turut memberi jaminan, fungsi asal Mitra tidak akan berubah meskipun ia kini ditempatkan di bawah Kementerian Sumber Manusia (Kesuma).
“Langkah ini bertujuan memastikan perancangan pelaksanaan dan pemantauan program Mitra dapat dilaksana secara lebih teratur, sistematik dan berkesan.
“Ia selaras dengan dasar pembangunan tenaga kerja, kebolehpasaran, peningkatan kemahiran dan perlindungan sosial di bawah Kesuma, pada masa sama turut perkukuh tadbir urus, ketelusan serta akauntabiliti pengurusan peruntukan dan program Mitra,” katanya. – UTUSAN










