KUALA LUMPUR: Pekerja sektor swasta boleh memohon kepada majikan masing-masing untuk mengamalkan kerja secara fleksibel termasuk bekerja dari rumah selaras dengan inisiatif Aturan Kerja Fleksibel (AKF).
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, inisiatif itu memfokuskan kebajikan pekerja serta keseimbangan kehidupan bekerja dan berkeluarga atau work life balance.
Katanya, kerajaan telah memperkenalkan inisiatif AKF dengan meminda Akta Kerja 1955 yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2023 serta pindaan Ordinan Buruh (Sarawak Bab 76) dan Ordinan Buruh (Sabah Bab 67) yang berkuat kuasa mulai 1 Mei 2025.
“Semua pekerja sektor swasta boleh memohon pelaksanaan AKF yang meliputi perubahan waktu kerja, hari bekerja atau tempat bekerja.
“Permohonan juga tertakluk kepada hari rehat, tempoh masa kerja, hari kelepasan dan syarat perkhidmatan lain,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Sumber Manusia di Dewan Rakyat, hari ini.
Ramanan berkata, amalan kerja fleksibel termasuk bekerja dari rumah atau waktu kerja anjal adalah tertakluk kepada kesesuaian sektor, jenis pekerjaan serta persetujuan antara majikan dan pekerja.
Katanya, garis panduan pelaksanaan AKF telah disediakan bagi memberi pemahaman terperinci kepada majikan, pekerja dan kesatuan sekerja mengenai perkara asas berkaitan inisiatif terbabit.
“Setakat tahun lalu, sebanyak 2,460 organisasi telah terlibat memberi manfaat kepada kira-kira 474,400 pekerja.
“Pelaksanaan ini turut disokong insentif cukai berupa potongan tambahan 50 peratus kepada majikan yang melabur dalam pembangunan kapasiti dan perisian berkaitan AKF seperti diumumkan dalam Belanjawan 2025,” katanya. – UTUSAN










