Ramai ibu tidak tahu teknik penyusuan bayi

Ramai ibu tidak tahu teknik penyusuan bayi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJIAN Pelan Tindakan Pemakanan Kebangsaan Malaysia (NPANM) pada 2009, mendedahkan hanya 14.4 peratus bayi diberikan susu ibu dalam tempoh enam bulan sepanjang hayat mereka.

Angka itu meletakkan negara di kedudukan paling bawah berbanding negara Asia lain.

Lebih malang lagi apabila peningkatan itu menjadikan negara muncul sebagai negara tertinggi dalam penggunaan susu formula. 

Itu cerita 15 tahun lalu. Kini, situasi kian berubah susulan trend penyusuan eksklusif yang melonjak positif. 

Perkembangan itu dipengaruhi oleh kesedaran dalam kalangan ibu-ibu muda, di samping penambahan hospital swasta dan kerajaan yang mempromosi penyusuan melalui akreditasi Inisiatif Hospital Rakan Bayi (BFHI) serta pengukuhan penyusuan menerusi Klinik Rakan Bayi. 

Pengarah Bahagian Pemakanan, Kementerian Kesihatan, Rusidah Selamat berkata, sebanyak 75.1 peratus bayi direkodkan menerima susu ibu eksklusif, pada tahun lalu diikuti 73.1 peratus (2022), 71.8 peratus (2021) dan 20.3 peratus (2020). 

Angka itu sekali gus melepasi sasaran 70 peratus yang pernah ditetapkan kerajaan menjelang 2025. 

Polisi Penyusuan Kebangsaan, menetapkan semua ibu digalakkan untuk menyusukan anaknya dengan susu badan sejak lahir sehingga berumur enam bulan. 

“Negara berada di landasan yang tepat. Kementerian berharap jumlah itu dapat ditingkatkan lagi hingga 100 peratus.

“Kita mahu ibu berusaha menyusukan bayi mereka secara eksklusif dan jika ada segelintirnya yang tidakboleh berbuat demikian, ia mestilah atas sebab perubatan dan bukan kerana faktor-faktor lain,” katanya selepas Persidangan Laktasi Kebangsaan dan Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia Peringkat Hospital Tunku Azizah Kuala Lumpur baru-baru ini. 

Turut hadir Ketua Pusat Laktasi Kebangsaan, Kementerian Kesihatan, Dr. Siti Maisarah Ahmad dan Pengarah hospital itu, Dr. Shamsul Anuar Kamarudin. 

Persidangan tiga hari melibatkan lebih 200 doktor, jururawat dan kumpulan sokongan itu bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran di samping inovasi terkini dalam bidang penyusuan badan. 

 

IBU MUDA TIADA PERSEDIAAN 

Walaupun penyusuan badan merupakan proses semulajadi seorang ibu, masih ramai tidak tahu mengenainya. 

Lebih menyedihkan, apabila kebanyakan ibu muda ini turut tidak membuat persediaan rapi sejak di fasa kehamilan. 

Rusidah berkata, situasi berkenaan berlaku disebabkan mentaliti kononnya penyusuan badan merupakan proses mudah dan lancar. 

“Walaupun sudah bersalin dua atau tiga kali, tetapi masih ada yang tidak tahu tentang penyusuan badan. 

“Jika di klinik kesihatan, mereka akan didedahkan dengan kelas antenatal, tetapi sekarang, rata-rata wanita memilih melakukan pemeriksaan di premis swasta yang tidak diwajibkan dengan ilmu tersebut,” katanya. 

Tahun lalu, sebanyak 22 daripada keseluruhan 175 hospital swasta bekerjasama dengan kementerian dalam menyokong BFHI. 

BFHI bertujuan memastikan setiap bayi mendapat permulaan kehidupan terbaik melalui persekitaran yang menyokong penyusuan susu ibu. 

Dalam perkembangan sama, beliau turut melahirkan rasa bimbang dengan nasib generasi akan datang jika situasi itu berlarutan. Lebih-lebih lagi dalam era serba canggih ini yang kebanyakan ibu-ibu bekerjaya tidak menumpukan sepenuh perhatian bersama anak-anak di rumah. 

“Sokongan pelbagai pihak terutama hospital swasta amat penting dalam meningkatkan kefahaman dan amalan penyusuan ibu,” katanya. 

Susu badan mengandungi zat makanan lengkap dan terbaik untuk bayi. Ia melindungi si manja daripada jangkitan penyakit, mengurangkan risiko alahan di samping mempengaruhi perkembangan daya intelek yang lebih baik. 

Dua tahun pertama kelahiran merupakan tempoh paling kritikal dalam kehidupan bayi kerana 80 peratus perkembangan otak dibentuk. 

Nutrien dalam susu ibu membantu tumbesaran bayi di samping menguatkan antibodi 

 

PERKASA GEN ALFA

Pendekatan agresif dan relevan perlu diambil bagi memperkasakan generasi alfa mengenai kepentingan penyusuan ibu. 

Rusidah turut menyeru pasukan kesihatan dan kumpulan sokongan untuk memanfaatkan segala teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) dan media sosial Tiktok bagi tujuan itu. 

Langkah tersebut katanya, penting kerana tahun depan merupakan permulaan bagi generasi itu mencapai usia reproduktif. 

“Sekarang kita berdepan dengan generasi Z, tetapi mulai tahun depan terdapat kira-kira 500,000 generasi alfa yang bakal berumur 15 tahun. 

“Kita perlu memperkasakan golongan itu dengan lebih awal agar mereka tidak tercicir dalam pengetahuan berkaitan penyusuan ibu,” katanya. 

Inisiatif itu selaras dengan objektif Program Pengukuhan 1,000 Hari Pertama Kehidupan Kanak-Kanak Malaysia. 

 

‘ANAK KITA, BUKAN’ 

Persidangan Laktasi Kebangsaan turut mengundang enam selebriti tanah air yang dipilih sebagai Duta Selebriti Menyokong Penyusuan Ibu antaranya Zarina Zainuddin dan Anne Abdullah. 

Mereka memainkan peranan mendidik masyarakat tentang kepentingan penyusuan ibu di samping menyebarluaskan ilmu itu dengan pengikut-pengikut di media sosial. 

Zarina menempelak sikap wanita yang enggan menyusukan bayi semata-mata kerana tidak mahu payudara kendur. 

“Saya pernah menyusukan empat anak tetapi selepas itu pandai-pandailah jaga semula payudara. 

“Lagipun, itu kan anak kita, kenalah bagi susu ibu. Kalau bagi susu lembu, itu namanya anak lembu,” katanya. 

Penyusuan membantu dua anak istimewanya, Azal dan Azil Azrai, 28, membesar sihat walaupun dilahirkan tidak cukup bulan. 

“Anak-anak saya lahir dengan 1.4 dan 1.6 kilogram, tetapi dengan susu ibu, mereka cepat membesar dan pada usia tiga bulan, mereka sudah memiliki berat badan normal seperti bayi lain,” katanya. 

Akuinya, menyusu badan bukan sahaja memudahkan urusan, bahkan menjimatkan masa, tenaga dan duit. 

 

SUSUKAN ANAK SAUDARA 

Anne merupakan antara segelintir ibu-ibu yang pernah berdepan detik tragis ketika fasa penyusuan. 

Walaupun susu badannya banyak, namun dia tidak berpeluang memanfaatkan anugerah Ilahi itu kepada permata hatinya. 

“Bayi sulung saya meninggal selepas dilahirkan akibat terbelit tali pusat. 

“Siapa yang tidak sedih, anak yang ditunggu-tunggu selama sembilan bulan pergi buat selamanya tanpa sempat merasa susu ibu. 

“Kebetulan pada masa itu kakak ipar pun baru bersalin, saya menawarkan diri untuk menyusukan anak saudara,” katanya mengimbau kenangan. 

Anne bersyukur kerana berpeluang mengulangi momen indah tersebut apabila melahirkan anak bongsu, kira-kira 31 tahun lalu. 

Katanya, perjalanan penyusuan bagi anak perempuannya berbeza berbanding lelaki kerana hanya mampu bertahan setakat enam bulan sahaja. 

“Saya cuba macam-macam cara termasuk makan ubat untuk banyakkan susu tetapi tidak berhasil. 

“Peliknya, masih ada segelintir wanita menolak untuk menyusu badan sedangkan kaedah ini mempunyai banyak manfaat termasuk mengecutkan rahim dan lekas kurus,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×