KUALA LUMPUR: Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) melancarkan Executive Management Programme (EMP) baru-baru ini sebagai inisiatif strategik bagi memperkasa pembangunan kepimpinan dan bakat profesional negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi turut hadir bagi menyempurnakan program tersebut sekali gus meraikan ulang tahun ke-60 Majlis Amanah Rakyat (MARA) di World Trade Centre Kuala Lumpur.
Ahmad Zahid mencetuskan idea ini (EMP) kerana melihat ia sebagai langkah proaktif merapatkan jurang antara dunia akademik dan industri, selain memastikan tenaga kerja tempatan kekal relevan, kompetitif dan bersedia menghadapi cabaran ekonomi masa depan.
Sehubungan itu, UPTM dilihat berperanan sebagai peneraju dan ‘game changer‘ dalam membangunkan ekosistem bakat negara serta berperanan sebagai focal point kepada industri melalui pelaksanaan program berimpak tinggi.
EMP diperkenalkan dengan dua komponen utama iaitu EMP Protege dan EMP Professional, yang disesuaikan mengikut tahap pengalaman serta keperluan peserta.
EMP Protege memberi tumpuan kepada graduan baharu dan pemegang ijazah sarjana muda, dengan penekanan terhadap pembangunan kemahiran praktikal yang menjadi keutamaan majikan masa kini, termasuk kepimpinan, komunikasi berkesan dan pemikiran strategik.
Manakala, EMP Professional direka khusus untuk golongan profesional yang ingin memperkukuh keupayaan kepimpinan dan pengurusan dalam tempoh singkat.
Bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan, UPTM turut menjalinkan kerjasama strategik dengan pelbagai rakan industri termasuk MBSB, WTC Kuala Lumpur, East Coast Rail Link (ECRL), DELL, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Open Learning.










