ASEAN perlu pilih prinsip, bukan memihak kuasa besar - Utusan Malaysia

ASEAN perlu pilih prinsip, bukan memihak kuasa besar

AHMAD Fuzi semasa menyampaikan ucaptama pada Forum Kepimpinan dan Perkongsian ASEAN (ALPF) 2026 di sini, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia dan ASEAN perlu mengemudi cabaran geopolitik semasa dengan berpaksikan kepada prinsip yang teguh, bukannya dengan memilih pihak dalam persaingan kuasa besar.  

Bekas Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak berkata, dalam mendepani era transformasi global yang mendalam, ASEAN perlu bertindak secara strategik di tiga peringkat utama iaitu nasional, serantau dan global.  

Beliau berkata, teras utama bagi ASEAN adalah untuk memastikan blok serantau itu kekal terbuka tetapi tidak terdedah, bersepadu tetapi tidak bergantung, serta terlibat namun tidak terkekang.  

“Dunia pasca-Perang Dingin yang dahulunya stabil kini beralih kepada landskap yang lebih berpecah dan dipertikaikan. Persaingan strategik antara Amerika Syarikat dan China khususnya sedang membentuk semula dinamik perdagangan, teknologi dan keselamatan yang tidak pernah dilihat sebelum ini.  

“Oleh itu, Malaysia dan ASEAN tidak seharusnya memilih pihak, sebaliknya memilih prinsip dalam menavigasi persekitaran yang mencabar ini,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Kepimpinan dan Perkongsian ASEAN (ALPF) 2026 di sini, hari ini.  

Bagi merealisasikan matlamat tersebut, Ahmad Fuzi menggariskan tindakan tegas yang perlu diambil pada tiga peringkat utama iaitu nasional, serantau dan global.

Beliau menjelaskan, pada peringkat nasional, negara anggota perlu memperkukuh daya tahan serta kepelbagaian ekonomi, selain melabur dalam transformasi digital, pertumbuhan hijau dan pembangunan modal insan bagi industri masa hadapan.

“Manakala bagi peringkat serantau, tumpuan harus diberikan untuk mendalami integrasi ekonomi ASEAN termasuk daya tahan tenaga, memperkukuh perdagangan dan pelaburan sesama anggota serta meningkatkan ketersambungan fizikal, digital dan kewangan.

“Selain itu, peringkat global turut memainkan peranan penting dalam mendukung serta mempromosikan multilateralisme dan perdagangan terbuka. 

“Ini termasuk penglibatan secara membina dengan semua kuasa besar bagi mengekalkan keseimbangan strategik serta memelihara kepusatan ASEAN dalam seni bina serantau sambil mengurus risiko dengan bijak,” katanya.

Ahmad Fuzi yang juga bekas Ketua Setiausaha Kementerian Luar berkata, integrasi ASEAN kini bukan lagi satu pilihan tetapi merupakan satu keperluan strategik.  

Beliau turut mencadangkan beberapa inisiatif praktikal termasuk penubuhan Digital ASEAN Commons, Inisiatif Daya Tahan Rantaian Bekalan Serantau dan Kerjasama Peralihan Hijau ASEAN bagi memastikan rantau ini terus berdaya saing.  

“Persoalan di hadapan kita bukanlah sama ada dunia akan berubah, kerana ia pasti akan berubah. Persoalannya adalah sama ada ASEAN akan mencorakkan perubahan itu atau dicorakkan olehnya,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN