PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan sedang memuktamadkan garis panduan baharu dengan mengambil kira saranan Jawatankuasa Reformasi Keselamatan Institusi Pendidikan bagi memperkukuh aspek keselamatan di sekolah.
Kementerian Pendidikan (KPM) bagaimanapun menggesa semua sekolah di bawah seliaannya supaya mematuhi Garis Panduan Pengurusan Sekolah Selamat yang sedang berkuat kuasa ketika ini.
Katanya, pihak akan mendapatkan pandangan pakar termasuk daripada Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) dalam usaha menambah baik tatacara keselamatan, khususnya melibatkan penggunaan kenderaan di kawasan sekolah.
“Kementerian komited memastikan persekitaran sekolah kekal selamat dan kondusif kepada semua warga pendidikan.
“Sehubungan itu, semua pentadbir sekolah diminta sentiasa memberi peringatan berterusan mengenai aspek keselamatan penggunaan kenderaan dalam kawasan sekolah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, seorang kanak-kanak berusia lapan tahun Nur Aini Umairah Mohd Fareez maut selepas dilanggar sebuah van di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Maimon, Parit Sulong.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kejadian dipercayai berlaku 12.30 tengah hari di hadapan pintu pagar utama sekolah berkenaan.
Siasatan awal polis mendapati kemalangan berlaku ketika sebuah van yang berada dalam kawasan sekolah selepas selesai menghantar barang sedang bergerak keluar melalui pintu pagar utama menuju ke Jalan Simpang Lima–Parit Sulong. – UTUSAN









