IPOH: Kerajaan Negeri Perak meneruskan pelaksanaan agihan lembu korban sempena sambutan Aidiladha tahun ini melibatkan semua 59 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan jumlah keseluruhan sebanyak 464 ekor.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sumbangan lembu korban tersebut dilaksanakan hasil usaha bersama syarikat-syarikat berkaitan kerajaan Negeri Perak melalui komitmen tanggungjawab sosial korporat.
“Sumbangan melibatkan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC), Perbadanan Menteri Besar (MB Inc), Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), Lembaga Air Perak (LAP) dan Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI).
“Agihan lembu korban ini turut melibatkan masjid dan surau, pasukan keselamatan, persatuan-persatuan serta badan-badan bukan kerajaan (NGO) terpilih di seluruh negeri.” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, seperti pelaksanaan sebelum ini, lafaz akad korban bagi kawasan DUN yang diwakili ADUN beragama Islam akan disempurnakan oleh ADUN terbabit atau wakilnya.
“Bagi kawasan yang diwakili ADUN bukan beragama Islam pula, proses akad akan dilaksanakan oleh Pegawai Tadbir Agama (PTA) Daerah mengikut garis panduan yang ditetapkan,” katanya.
Menurut Saarani, Kerajaan Negeri turut bekerjasama dengan Jabatan Mufti Negeri Perak bagi mengedarkan garis panduan pelaksanaan khusus.
Beliau berkata, ia terutamanya berkaitan aspek wakalah atau kontrak antara pihak-pihak terlibat, bagi memastikan ibadah korban dilaksanakan selaras dengan kehendak syarak.
“Pada masa sama, pelaksanaan ibadah korban ini akan berpandukan peraturan dan garis panduan yang ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Perak serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar.
“Ini bagi menjamin kelancaran pelaksanaan, pematuhan syarak dan aspek kesihatan awam,” katanya. – UTUSAN










