KUALA LUMPUR: ASEAN perlu menubuhkan sebuah bilik gerakan rantaian bekalan melalui Sekretariat ASEAN bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menavigasi gangguan perdagangan global yang semakin mencabar.
Pengerusi Penyelidikan dan Advokasi CARI ASEAN, Tan Sri Dr. Munir Majid berkata, inisiatif itu penting bagi memastikan golongan PKS tidak terus terdedah kepada ketidaktentuan ekonomi, terutamanya membabitkan gangguan rantaian bekalan yang sedang berlaku ketika ini.
Beliau menjelaskan, bilik gerakan tersebut harus dilengkapi dengan peta produk dan kapal dunia serta menggunakan kepakaran teori permainan untuk menjangka sebarang kemungkinan gangguan pada masa hadapan.
“Kita tidak boleh hanya bertindak balas selepas sesuatu berlaku. Bilik gerakan ini akan membantu PKS khususnya untuk memahami di mana mereka patut mengeluarkan produk, apa yang perlu dikeluarkan dan dengan siapa mereka patut bekerjasama.
“PKS perlu dibantu untuk memahami kesan gangguan rantaian bekalan ini terhadap perniagaan mereka agar mereka dapat membuat keputusan yang lebih tepat,” katanya kepada pemberita selepas katanya kepada pemberita pada Forum Kepimpinan dan Perkongsian ASEAN (ALPF) 2026 di sini, hari ini.
Forum bertajuk “Menavigasi ASEAN dalam Era Geopolitik Baharu: Menjaga Kepusatan, Menjaga Kemakmuran, Memperkasakan Rakyat”” itu turut dihadiri Bekas Yang Dipertua Negeri (YDP) Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.
Mengulas mengenai konflik geopolitik, Munir berkata, peperangan membabitkan Iran dijangka memberi impak serius terhadap ekonomi, termasuk tekanan harga dan gangguan bekalan sektor pertanian akibat kekurangan urea dari Asia Barat.
Selain itu, terdapat keperluan mendesak dalam aspek keselamatan makanan dengan menyarankan negara anggota mengenal pasti pengeksport makanan bersih bagi memastikan bekalan mencukupi ketika krisis.
“Ini adalah satu kecemasan. Mengimbas pengalaman pandemik COVID-19, ketiadaan kerjasama serantau dalam pembelian vaksin secara pukal adalah kelemahan utama yang tidak sepatutnya berulang,” katanya.
Beliau juga mengingatkan ASEAN supaya berhati-hati agar tidak menghadapi kemungkinan berulangnya kesan seperti Krisis Kewangan Asia 1997-1998 yang membawa kepada ketidakstabilan politik dan pengangguran.
Dalam pada itu, perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI) kini menjadi cabaran baharu kepada pasaran pekerjaan, sekali gus menuntut kesediaan semua pihak bagi mendepani risiko anjakan tenaga kerja tersebut. – UTUSAN









