MELEDAKNYA dunia pastri dan bakeri menjadikan semakin banyak kafe yang unik wujud di bandar raya Alor Setar, Kedah sejak kebelakangan ini termasuklah yang terbaru kafe Overn.
Salah satunya adalah kafe Overn di Jalan Gangsa, Alor Setar yang mengambil tempat dalam industri itu sejak pertengahan tahun lepas..
Walaupun baru berusia setahun jagung, namun Overn sudah mula menawan hati penggemar pastri dan bakeri apatah lagi kafe ini pernah meledak gara-gara fenomena cromboloni, penghujung tahun lepas.
Overn menjamin semua menunya segar kerana ruangan pembuatan pastri dan bakeri berada di premis tersebut bersesuaian dengan konsepnya dari oven kepada pelanggan.

Selain cromboloni yang mempunyai tujuh perisa atau topping termasuk yang paling popular pistaschio dan matcha, Overn turut menyediakan croissant, roti sourdough, roti bawang putih, pelbagai jenis sup dan nasi lemak sebagai hidangan makan pagi hingga minum petang.
———————————————————————————
Overn
Bangunan Arena 55, Lorong Perak 12, Jalan Gangsa Alor Setar Kedah
Operasi : 9 pagi hingga 8 malam (Tutup – Jumaat)
——————————————————————————-
Turut disediakan pelbagai jenis minuman kopi premium dan teh serta jus untuk pilihan pelanggan.
Dari segi dekorasi dan hiasan dalaman, Overn mengusung konsep kafe industrial yang penuh stail dari ruang legar luar premis sekali gus mencetus gaya eksklusif serta sangat ‘instagrammable’ bagi pengunjung yang gemar bergambar atau swafoto.
Namun lebih menarik tentang Overn adalah gaya makanannya dipamerkan iaitu secara terbuka yang membolehkan pelanggan membuat pilihan di kaunter bayaran.

Menurut pemilik kafe ini, Fatin Ilani Zaharulail, 30, beliau dan suami, Hanif Nazri, 32, melabur sehingga RM300,000 untuk mewujudkan kafe tersebut pada tahun lepas.
Katanya, konsep kafe industrial itu mempunyai keunikan tersendiri untuk menawan hati penggemar pastri dan bakeri.
“Semua produksi pembuatan pastri dilakukan di kafe ini iaitu dalam ruangan khas seperti kontena. Pembuatan pastri seperti cromboloni dan croissant memerlukan ketelitian termasuk suhu yang sesuai untuk menjamin kesegarannya.
“Setiap hari kami menghasilkan sehingga 1,000 pastri bergantung kepada permintaan pelanggan termasuk cromboloni yang menjadi kegemaran ramai yang kami hasilkan antara 300 hingga 400 biji sehari,” katanya ketika ditemui di premis tersebut baru-baru ini.
Dalam pada itu, menurut salah seorang pelanggan, Azia Ali, 25, konsep kafe berkenaan yang lain daripada lain menjadikan ia pilihan untuknya melepak bersama rakan-rakan.
“Makanan di sini pun enak dan segar sebab dari oven terus disajikan kepada pelanggan. Saya suka cromboloni di sini,” katanya. –UTUSAN










