BERBUKA puasa dengan dikelilingi flora dan berada di satu kawasan yang penuh kehijauan semestinya memberikan ketenangan dan menambah selera.
Ditambah pula dengan pelbagai makanan enak pastinya memberi kepuasan tersendiri. Dengan keenakan menu-menu seperti satay wagyu; kari ikan salmon dan mi kari yang diletakkan udang serta makanan laut, ia cukup berbaloi untuk mereka yang datang ke Hotel Indigo Kuala Lumpur on the Park.
Paling wajib dicuba di hotel ini semestinya nasi briyani telur puyuh yang mempunyai rasa asli dengan dimasak sempurna, cukup rasa rempah dan cukup lembut.
Digandingkan pula dengan kari salmon yang tidak hanyir dengan isinya yang tebal serta tidak hancur membuatkan selera bertambah.

Malah, menu-menu yang dihidangkan di hotel ini sukar didapati di hotel lain yang menghidang bufet Ramadan.
Dalam pada itu, menu satay wagyu juga wajar diberi merit lima bintang terutama pada kelembutan dagingnya. Menu ini dimakan bersama lemang dan kuah kacang sememangnya tidak mengecewakan.
Selain itu, terdapat beberapa menu lain seperti rojak buah; sup campur dan pelbagai jenis pemanis mulut.
Semua menu ini boleh dinikmati pada harga RM198 untuk dewasa dan RM99 untuk kanak-kanak berusia 9 sehingga 11 tahun.
Untuk mereka yang mahu mencuba, hidangan separa bufet dengan gabungan konsep set -to-table ini akan berakhir sehingga 9 April nanti. –UTUSAN










