Cita rasa nasi kandar Hameediyah di ibu kota - Utusan Malaysia

Cita rasa nasi kandar Hameediyah di ibu kota

Pengarah Operasi Hameediyah Multiconcept Dining, Sanjay Jegathesan (tengah) bersama hidangan lauk nasi kandar yang disajikan di Restoran Hameediyah Bukit Bintang, Kuala Lumpur. MINGGUAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIDAK perlu ke Pulau Pinang semata-mata untuk memenuhi selera untuk menikmati nasi kandar Hameediyah. Ini kerana jenama yang telah berusia hampir 100 tahun itu sudah bertapak di ibu kota dengan cita rasa asli dari Pulau Mutiara itu.
Malah, kebanyakan lauk di restoran ini mempunyai rasa tersendiri dan bukan tipikal sebagai mana jenama nasi kandar lain. Antaranya, menu ayam bawang dan adalah sesuatu yang merugikan sekiranya datang ke Restoran Hameediyah tanpa mencuba hidangan ini.
Dengan rasa yang agak berempah, tidak masin dan tidak terlalu kering, menu ini menjadi kombinasi terbaik untuk dimakan bersama bendi atau kobis goreng. Walaupun ayam kampung yang digunakan tidak mempunyai isi yang banyak dan saiznya agak kecil (dipotong suku), ia sudah cukup mengenyangkan.

Lamb shank

Menu lamb shank yang didatangkan dengan saiz besar dan sesuai untuk hidangan dua hingga tiga orang. Apa yang menarik, lamb shank di sini diperap selama 48 jam bagi memastikan rasa rempah yang cukup selain dicampur kas-kas dan direbus sebanyak dua kali untuk memberikan kelembutan.
Di samping itu, kuahnya juga agak likat dan kurang sesuai untuk dihirup walaupun mempunyai rasa yang enak.
Harga untuk menu ini bergantung kepada saiz iaitu antara RM35 ke RM50 seketul. Selain itu, pengunjung juga mempunyai pilihan lain untuk hidangan kambing iaitu gulai kambing mysore.

Daging kambing yang potong kecil ini sangat sesuai sekiranya anda datang berseorangan ke restoran ini. Namun, kuahnya sama seperti lamb shank dan agak likat, berkemungkinan dicampur bersama yogurt. Harga untuk menu ini adalah RM13.
Selain itu, terdapat banyak lagi menu yang boleh menjadi pilihan pengunjung antaranya sotong viral, bawal goreng, rendang ayam, ketam, jus manggo lassi dan mi goreng.
Menurut Pengarah Urusan, Abdul Sukkor Syed Ibrahim, Restoran Hameediyah di Bukit Bintang mengetengahkan multi concept (konsep pelbagai) berbanding cawangan lain.

“Keluasan restoran ini empat tingkat dan memberi kebebasan kepada pelanggan untuk duduk di mana-mana sahaja sama ada bistro di tingkat satu dengan suasana mamak atau galeri yang berada di tingkat dua.
“Jika makan di galeri, pengunjung akan terasa seperti sedang makan dalam muzium kerana kami ada meletakkan koleksi barangan asal datuk dan nenek saya dulu berniaga. Kami turut menghiaskan lukisan kenangan ketika mereka berniaga dahulu,” jelasnya.
Dalam pada itu Abdul Sukkor berkata, pengunjung tidak perlu ragu-ragu tentang keaslian makanan di sini kerana tukang masak didatangkan khas dari Pulau Pinang selain rempah yang digunakan diimport khas dari India.
Restoran ini beroperasi setiap hari dari pukul 10 pagi hingga 10 malam dan 11 malam untuk Sabtu dan Ahad. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya