Kafe ala Bali ‘style’, harga serendah RM2.50 - Utusan Malaysia

Kafe ala Bali ‘style’, harga serendah RM2.50

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELIHAT kepada keunikan kedai empat tingkat menggunakan lebih 90 peratus kayu hutan asli yang berkonsepkan lokasi makanan popular seperti di Bukit Saung Bambu, Bandung dan Bali ini, siapa sangka hidangan makanan yang ditawarkan di sini serendah RM2.50.
Di sebalik kenaikan kos harga barangan ketika ini, Maulana Cafe yang terletak bersebelahan Jalan Seri Medan, Utan Aji, Kangar, Perlis masih mampu menawarkan pelbagai menu masakan Melayu dengan harga serendah itu selain turut menampilkan makanan ala Barat pada harga berpatutan.
Dengan harga serendah RM2.50, orang ramai dapat menikmati makanan seperti Nasi Ayam Kunyit, Nasi Ayam Rendang, Nasi Hujan Panas, Nasi Lemak, Mi Kari, Mi Rebus, Sagu Gula Melaka dan banyak lagi.
Malah, pengunjung juga pasti terpesona dengan reka bentuk kedai berkenaan yang menampilkan konsep tersendiri di mana 90 peratus binaan adalah menggunakan kayu hutan asli.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, pemilik Maulana Cafe, Maulana Al Ikraam Che Man, 28, berkata, kedainya itu beroperasi sejak tujuh tahun lalu dan turut melalui transformasi dari sebuah warung kecil sehinggalah kini menjadi restoran empat tingkat.
“Pada peringkat permulaan, kami tawarkan harga serendah RM1.90 bagi hidangan di sini dengan saiz kecil bagi memberi peluang kepada pengunjung untuk merasai pelbagai jenis makanan itu.
“Namun dengan kenaikan harga barangan, kami terpaksa menaikkan sedikit harga kepada RM2.50 bagi setiap hidangan buat pelanggan namun sebenarnya masih kekal rendah,” katanya.
Menceritakan lebih lanjut, graduan jurusan Diploma Pengurusan Perniagaan dari Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) ini memaklumkan, dia juga menggunakan konsep dari Indonesia seperti Bukit Saung Bambu, Bandung dan Bali untuk diketengahkan di kedainya itu bagi memberi kelainan kepada pegunjung.
Katanya, binaan kedai berkenaan termasuk kerusi dan meja pelanggan juga menggunakan kayu hutan yang dicari sendiri oleh mereka sekitar kawasan Gunung Medan, Perlis.
“Ayah saya seorang kontraktor dan sedikit sebanyak mahir dengan kerja-kerja kayu ini, jadi dia banyak membantu dalam membina kedai ini mengikut konsep yang ingin diketengahkan.
“ Saya dan abang pula membantu daripada segi ukiran bagi memastikan kayu-kayu hutan yang dikutip ini mengikut reka bentuk dikehendaki,” katanya.
Dalam pada itu, Maulana berkata, bagi hidangan ala Barat, terdapat beberapa menu menarik ditawarkan kepada pengunjung dengan harga bermula RM10 sehingga RM15.
Anak ketiga daripada lima beradik itu berkata, kedai milik keluarga itu diusahakan secara bersama bagi memberi peluang buat pengunjung mereka khususnya golongan pelajar menikmati pelbagai jenis hidangan makanan.
“Kami buat konsep murah ini kerana kawasan ini sekitar kampung dan ekonomi di sini berlainan dengan bandar.
“Selain itu, kedai ini juga berdekatan sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT), jadi memang sasaran kami adalah golongan pelajar untuk memberi peluang kepada mereka menikmati pelbagai jenis hidangan dengan harga murah,” katanya.
Di samping itu, Maulana berkata, buat masa ini, pihaknya mempunyai seramai sembilan pekerja terdiri daripada golongan asnaf sekitar negeri ini.
Kata Maulana, pihaknya turut menerima bantuan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sebelum ini yang memberi sumbangan kewangan bernilai RM10,000 sebagai modal tambahan sewaktu peringkat permulaan operasi mereka dahulu.
“Selain itu, kami juga pernah menerima Anugerah Ikon Asnaf Perlis pada tahun 2021 lalu daripada MAIPs,” katanya.
Sementara itu, Maulana berkata, kedainya turut dikunjungi pelanggan dari luar Perlis yang ingin merasai pengalaman menikmati makanan dengan suasana berbeza.
Katanya, mereka juga mempunyai perancangan bagi mengembangkan lagi perniagaan itu dengan membuka kafe kopi bersebelahan lokasi sekarang.
“Kami beroperasi pada setiap hari kecuali Isnin bermula pada pukul 4 petang sehingga 11 malam,” katanya. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya