NASI kandar dan rakyat Malaysia berpisah tiada sebagaimana beberapa menu lain seperti nasi lemak atau roti canai. Kalau dulu ia cukup popular di Pulau Pinang dan Kedah, kini pelbagai jenama nasi kandar muncul di Kuala Lumpur.
Antara wajib dicuba semestinya Nasi Kandar Cargas yang terletak di Taman Tun Dr. Ismail.
Ada kelainan tersendiri apabila datang ke sini kerana menu yang ada bukanlah sebagaimana tipikal nasi kandar lain.
Gabungan kuah campur yang sudah menjadi kewajipan apabila menikmati nasi kandar dan dimakan bersama telur sotong masak kuning membuat sesiapa sahaja mahu menambah nasi buat kali kedua di restoran ini.
Ditambah pula dengan kelembutan telur sotong dimasak bersama beberapa rempah memberi pengalaman berbeza untuk mereka yang pertama kali menikmati menu ini.
Selain itu, ayam goreng bawang di restoran ini turut menjadi sebutan disebabkan aromanya yang harum selain mempunyai kuah tersendiri berbanding ayam goreng biasa.Bagaimanapun, menu ayam goreng juga tidak mengecewakan dengan rasa ranggup sehinggakan ada bahagian tulang tertentu yang agak rapuh dan boleh dimakan begitu sahaja.
Tidak hairanlah ada pengunjung yang datang pasti mengambil dua ketul ayam goreng sebagai santapan mereka lebih-lebih lagi yang baru siap digoreng.
Boleh dikatakan ini antara menu paling laku dan terus habis sebaik diletakkan di ruangan lauk pauk.
Untuk mereka yang mahukan menu ikan pula, pari masak kari wajib dicuba dan ia amat jarang diketengahkan sebagaimana masakan lain di restoran nasi kandar.
Apatah lagi, kari ala mami ini tidak terlalu pekat dan tidak terlalu cair serta menggunakan santan bagi menambahkan rasa lemak.
Paling penting, rasa ikan pari ini tidak berbau dan mempunyai saiz yang agak besar serta boleh dinikmati oleh dua orang.
Selain itu, tidak lengkap kalau tidak menikmati nasi kandar tanpa ada sambal ‘nyok’ atau sambal kelapa.
Rasanya seakan-akan chutney kelapa yang biasanya dihidangkan bersama tosai menjadi pelengkap kepada hidangan nasi kandar di sini.
Dalam pada itu, menurut chef, Omar Khan A. Moosa, restoran Nasi Kandar di Taman Tun Dr. Ismail merupakan cawangan kedua selepas di Pulau Pinang.
Bagaimanapun katanya, ada sedikit perbezaan antara kedua-dua restoran daripada segi jenis dan jumlah menu.
“Di Pulau Pinang memang ada campuran antara masakan Melayu dan mamak. Akan tetapi di sini kita cuba berikan keaslian nasi kandar dengan lebih kepada kemelayuannya.
“Hanya kari dan ayam goreng sahaja menu yang sama sebagaimana di restoran kami di Pulau Pinang,” katanya.
Nasi Kandar Cargas terletak di 14, Ground Floor, Jalan Tun Mohd. Fuad 2, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur dibuka setiap hari kecuali Isnin dari pukul 10 pagi hingga 10 malam. – Mingguan Malaysia
Telur sotong, ayam bawang beri kelainan di Nasi Kandar Cargas
- Oleh MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI
- 3 September 2023, 1:03 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Segera keluar daripada ‘perangkap’ pendidikan
22 September 2024, 8:15 am
Pendidikan 3M perlu strategi jangka panjang
15 September 2024, 10:03 am
Kerajaan Perpaduan melepasi 660 hari
15 September 2024, 8:28 am