Cita rasa peri-peri Chicken Royale - Utusan Malaysia

Cita rasa peri-peri Chicken Royale

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERJALANAN ke Senawang, Negeri Sembilan dari Gombak mengambil masa hampir dua jam. Tidak jauh, tetapi cukup mengujakan. Masakan tidak, perut sudah berdendang sayang mahu menikmati hidangan diinspirasikan dari Afrika Selatan. Bukan tidak ada cawangan Chicken Royale di sekitar Lembah Klang, tetapi pembukaan lokasi baharu yang ini disuntik dengan keistimewaan dan ciri-ciri tempatan yang unik serta mengujakan.
Sampai sahaja di restoran yang terletak di Taman Komersial Senawang 7 itu, saya terus memesan makanan yang dikatakan mampu menyaingi hidangan francais hidangan ala Afrika Selatan terkemuka. Menerapkan ciri-ciri kemelayuan dalam setiap hidangan, pengunjung bakal disajikan dengan seleksi ayam peri-peri, nasi arab dan pelbagai makanan sampingan yang dihidangkan dalam ‘talam’ versi moden. Malah, nama-nama hidangan yang unik antaranya Talam Badang, Mahsuri, Bersiong, Teja , Mahsuri, Mayang dan Sapurba menambahkan keunikan serta elemen kemelayuan dalam hidangan antarabangsa. Bagi pengunjung yang menggemari keju, Chicken Royale turut menawarkan hidangan ayam peri-peri istimewa resipi pemilik jenama, Mohd. Nazri Md. Akim bersama keju leleh yang disediakan di meja santapan.
Keju yang meleleh itu diinspirasikan daripada trend makanan Korea Selatan yang tular dan menjadi kegilaan anak-anak muda yang mungkin mahu mencuba penyatuan sajian daripada tiga negara berbeza budaya.
Menariknya, ayam dara segar terlebih dahulu diperap dengan lebih 10 rempah ratus itu selama dua jam sebelum dipanggang di dalam ketuhar selama dua jam. Proses itu penting bagi memastikan ayam masak dengan sempurna. Selain itu, Chicken Royale turut memberikan pelbagai pilihan hidangan yang boleh dinikmati bukan seorang tetapi sehingga lima orang pada satu-satu masa.
Malah, jenama makanan tempatan itu turut memperkenalkan Set Mega Badang yang dihidangkan untuk 10 orang yang dilengkapi dengan dua ekor ayam per-peri, seleksi kentang goreng, nasi arab dan nugget.
Setiap hidangan juga didatangkan dengan sos peri-peri resipi sendiri yang turut dijual untuk pengunjung yang mahu menikmati pelengkap makanan itu di rumah.
Selain ayam, pengunjung juga boleh menikmati hidangan kambing yang digoreng rangup berserta kentang goreng menerusi Set Sapurba. Itu merupakan antara hidangan wajib cuba dan popular. Bagi pengunjung yang meminati makanan Barat seperti burger, boleh memilih Set Parameswara yang dilengkapi filet ayam rangup bersaiz besar dan kentang.
Bermula dari perniagaan kenderaan saji, jenama Chicken Royale semakin berkembang dengan pembukaan lapan cawangan di Semenanjung. Malah, Mohd. Nazri juga bercadang membuka cawangan di seluruh negara.
“Ini cawangan pertama di luar Lembah Klang. Senawang juga lokasi perniagaan yang baik khususnya untuk usahawan lokal. Untuk setiap cawangan, kita akan menyuntik elemen budaya tempatan setiap negeri.
“Itu adalah keunikan dan keistimewaan Chicken Royale. Malah, kami sentiasa memastikan kualiti hidangan dan makanan berada di paras yang tinggi. Ini adalah perniagaan yang menjadi periuk nasi saya serta kakitangan.
“Selain membuka cawangan di beberapa negeri lain, saya juga bercadang membuka dapur berpusat di setiap negeri bagi memastikan kualiti hidangan sentiasa terjamin segar dan memuaskan,” katanya. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya