Cita rasa autentik Sri Lanka di Aliyaa - Utusan Malaysia

Cita rasa autentik Sri Lanka di Aliyaa

Antara hidangan menarik di Restoran Aliyaa di Bukit Damansara, Kuala Lumpur. MINGGUAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APABILA sebut sahaja nama Sri Lanka, saya pasti ramai tidak terlintas di fikiran mengenai hidangan atau masakan popular dari negara ini.
Kalau ada pun sebagai peta dalam destinasi pelancongan atau cakap-cakap kedai kopi berkaitan isu semasa yang melanda negara berkenaan.
Namun percayalah Sri Lanka ada tarikan sendiri apabila bercerita mengenai masakannya. Paling menarik sudah semestinya cita rasa autentik makanan negara ini terutama menu berkaitan kari.
Sekiranya masih sangsi dengan apa yang saya katakan, anda boleh berkunjung ke restoran Aliyaa untuk mencuba sendiri masakan di sini.
Paling wajib dicuba sudah semestinya hidangan kari udang harimau atau tiger prawn chef style dan ketam whole crab amma.
Dengan rasa tidak terlalu pedas bersama gabungan pelbagai rempah Sri Lanka sehingga memberikan rasa tersendiri, menu ini sesuai untuk dinikmati pelbagai golongan termasuk kanak-kanak.
Malah, dengan adanya hirisan bawang merah yang dicampur bersama udang harimau juga turut memberikan rasa manis. Saiz udang yang begitu besar dan sudah siap dibuang kulit pasti memberi kepuasan tersendiri.
Selain kedua-dua hidangan ini, anda juga wajib mencuba hidangan kambing iaitu mutton bone varuval.
Dengan kelembutan daging kambing yang dicampur bersama tulang kaki gear box dan dimasak dengan rempah tanpa berkuah memberi kelainan dan lari daripada kebiasaan.
Pada saya tidak lengkap sekiranya menikmati semua makanan ini tanpa sambal Sri Lanka yang didatangkan khas dengan empat jenis iaitu Seeni Sambol; Katta Sambol; Karupily Sambol dan Sakara Sambol.
Apa yang membezakan keempat-empat jenis sambal ini sudah semestinya rasa dan tahap kepedasan selain teksturnya.
Pada saya, untuk memberi sedikit kelainan, adalah lebih baik anda mencuba menu yang dinyatakan tadi bersama appa atau lebih dikenali sebagai appam di negara ini.
Untuk mereka yang tertanya apakah bezanya antara appa dan appam adalah daripada segi bentuknya dan kaedah masakan.Saya difahamkan antara teknik digunakan adalah mengetuk kuali yang digunakan bagi memastikan ia benar-benar panas sebelum boleh memasak appa.
Dalam pada itu, menurut Sous Chef Aliyaa, Ruchita Eranga, apa yang membezakan antara kari Sri Lanka dan negara lain adalah penggunaan serbuk rempah dan kayu manis yang banyak serta tidak menggunakan yogurt.
Malah katanya, mereka turut membawa kayu manis dan rempah ratus itu dari Sri Lanka. Aliyaa dalam bahasa Sri Lanka bermakna gajah.

Restoran Aliyaa

Lokasi: No. 48, Jalan Medan Setia 2, Bukit Damansara, Kuala Lumpur
Waktu Operasi: 12 tengah hari hingga 3 petang dan 6 petang hingga 10 malam
Hidang popular: Kari udang harimau dan ketam whole crab amma

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya