Utamakan halal, jauhi syubhah dalam memilih makanan

Utamakan halal, jauhi syubhah dalam memilih makanan

Muhammad Yusry Affandy Md. Isa al-Hafiz
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Matlamat rata-rata perniagaan adalah mencari keuntungan. Namun berbeza dari segi cara mendapatkan keuntungan sama ada benar atau salah. Sesetengah peniaga mengambil kesempatan menunggang istilah Muslim friendly atau ‘mesra Muslim’ untuk menarik pelanggan

Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Dr. Muhammad Yusry Affandy Md. Isa al-Hafiz berkata, pendekatan itu terikat dengan persoalan sama ada mereka menggunakan sepenuhnya etika patuh syariah Islam ataupun tidak.

“Dalam syariat Islam, jenama atau nama yang baik adalah pendekatan diharuskan, tetapi persoalannya adakah dalaman intipati dan penyediaan makanan itu selari dengan tuntutan halal agama?

“Menyedari hal ini, pengesahan halal yang diiktiraf pihak autoriti menjadi penyelamat kepada pengguna Islam. Umat Islam wajib mengutamakan perihal kejelasan halal daripada terus tertarik dengan jenama atau slogan tertentu,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Beliau berkata, kesedaran memilih makanan halal bukan sekadar isu gaya hidup, bahkan ia tuntutan agama yang berkait rapat dengan ketakwaan seorang Muslim.

“Apa yang masuk ke dalam tubuh akan mempengaruhi pembentukan rohani dan jasmani seseorang. Atas sebab itu, Islam menitikberatkan soal makanan halal lagi baik. Halal bukan hanya pada nama atau rupa luaran makanan, tetapi turut melibatkan keseluruhan proses penyediaan, bahan digunakan dan cara pengendaliannya.

“Tidak cukup sekadar melihat pekerja atau pemilik kedai beragama Islam untuk memastikan makanan yang dijual halal dan bebas syubhah. Nilai sempurna halal turut bergantung pada sesiapa yang menyediakan makanan tersebut,” ujarnya.

Dr. Muhammad Yusry berkata, keadaan itu menuntut umat Islam supaya berpengetahuan dan sedar segala aspek berkaitan halal.

“Tidak boleh sekadar melihat zahir pekerja, bahkan umat Islam diajar supaya meneliti siapa mereka dalam kerangka yang mampu dilakukan.

“Bayangkan jika penyedia makanan tidak amanah dan culas mengenai kandungan haram dalam makanan. Jika pengguna mengambil sikap tidak mengapa, sedangkan makanan itu benar-benar haram, maka bererti seseorang itu memakan yang haram atau sekurang-kurangnya syubhah, iaitu perkara samar yang dibenci syarak,” katanya.

Tambah beliau, kecelaruan identiti agama penyedia makanan sering diperkatakan berlaku di negara jiran atau negara yang mempunyai komuniti agama bercampur, hakikatnya, perkara sama juga boleh tercetus di premis tertentu di negara ini.

“Hal ini berlaku kerana terdapat pemilik premis yang lebih mementingkan pekerja yang ramai dan murah berbanding memastikan pematuhan terhadap garis panduan halal,” katanya.

Katanya, tindakan kerajaan amat diperlukan untuk terus memantau polemik yang berlaku dalam isu halal dan identiti pengendali makanan. Ia penting bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan.

“Ramai lebih mahu menjamu selera berbanding menyelidik apa sebenarnya di sebalik penjualan makanan. Sedangkan persoalan halal dan haram bukan perkara kecil dalam kehidupan seorang Muslim,” katanya.

Dalam konteks semasa, umat Islam di negara ini amat digalakkan mendapatkan pengesahan halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Langkah mendapatkan pengesahan halal adalah satu ikhtiar yang selari dengan tuntutan takwa. Ia juga menjadi pendekatan terbaik untuk mengawasi diri dan menjaga kepentingan pengguna.

“Dari sudut komersial pula, pengguna yang berilmu pasti lebih yakin terhadap produk atau premis yang mempunyai pengesahan halal rasmi. Dalam konteks pengguna hari ini, kebanyakan produk makanan telah memperoleh status halal. Justeru, mengutamakan yang halal satu keutamaan yang tidak boleh dikompromi,” ujarnya.

Hadis Nabi SAW juga mengingatkan mencari halal adalah tuntutan yang sangat besar dalam kehidupan seorang Muslim. Allah SWT menggesa setiap manusia yang berakal, khususnya umat Islam, supaya mencari makanan yang halal lagi baik sebagaimana firman-Nya:

“Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu mengikuti jejak langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.”

Dalam sebuah hadis lain, daripada Nu’man bin Basyir RA, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Di antara keduanya terdapat perkara syubhah yang tidak diketahui kebanyakan manusia. Barang siapa yang menjauhi perkara syubhah, maka dia telah menyelamatkan agama dan kehormatannya.

Justeru, umat Islam perlu berhati-hati dan mengutamakan makanan yang jelas status halalnya. Mengambil mudah dalam soal makanan bukan sahaja memberi kesan kepada kesihatan, malah turut memberi kesan kepada ibadah, keberkatan hidup dan penerimaan doa di sisi Allah SWT. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN