M Marini Grand Caffè & Terrazza tampil gastronomi Itali eksklusif

M Marini Grand Caffè & Terrazza tampil pengalaman gastronomi Itali eksklusif

Menu Itali mampu mengamit pengunjung ke restoaran M Marini Grand Caffè & Terrazza
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Terletak di tengah-tengah kesibukan bandar raya Kuala Lumpur, M Marini Grand Caffè & Terrazza tampil sebagai destinasi makanan yang menggabungkan cita rasa Itali autentik dengan suasana elegan dan moden.

Beralamat di Ground Floor, One KL, No.6 Jalan Pinang, restoran ini menjadi pilihan ramai penggemar makanan premium yang ingin menikmati pengalaman santapan eksklusif di ibu kota.

Lokasinya yang strategik berhampiran kawasan tumpuan pelancong menjadikan restoran ini mudah dikunjungi sama ada oleh warga tempatan mahupun pelancong antarabangsa.

Sebaik melangkah masuk ke restoran ini, pengunjung akan disambut dengan dekorasi bergaya kontemporari yang masih mengekalkan sentuhan klasik Itali yang cukup memikat.

 

 

Lokasi: M Marini Grand Caffe & Terrazza
Lot 1.02, Ground Floor,
ONE KL, No.6, Jalan Pinang,
Kuala Lumpur.
Waktu operasi:
11 pagi – 10 malam

 

Gabungan warna lembut, susunan meja eksklusif dan pencahayaan malap mewujudkan suasana romantik serta selesa untuk menikmati hidangan bersama keluarga, pasangan atau rakan perniagaan.

Kawasan terrazza luar pula menawarkan pemandangan indah kota Kuala Lumpur terutama Menara Berkembar Petronas yang menjadi mercu tanda kebanggaan negara.

Pada waktu malam, suasana di restoran ini menjadi lebih mempesonakan apabila cahaya lampu bandar menghiasi panorama sekitar sekali gus memberikan pengalaman santapan yang cukup istimewa.

Ketua Chef, Chef Sonny berkata, keistimewaan restoran ini bukan hanya terletak pada dekorasi dan suasananya, tetapi juga pada setiap sajian yang dihidangkan kepada pelanggan.

Menurut beliau, setiap hidangan disediakan menggunakan bahan halal dan berkualiti tinggi bagi memastikan rasa autentik Itali dapat dikekalkan dalam setiap menu.

Katanya, restoran tersebut memberi perhatian terhadap setiap perincian termasuk pemilihan bahan segar dan teknik masakan yang menepati standard kulinari Itali moden.

“Menu di restoran ini menjadi tarikan utama kerana kami mahu pelanggan menikmati pengalaman makanan Itali sebenar dalam suasana eksklusif dan santai.

“Antara menu yang paling mendapat sambutan ialah pizza signature kami yang mempunyai kerak nipis rangup dengan gabungan topping segar dan kaya rasa,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Antara pizza yang sering menjadi pilihan pelanggan adalah Classic Margherita, Margherita Chili, Napoletana, Diavola, Capricciosa dan Smoked Salmon.

 

 

Setiap pizza dihasilkan menggunakan doh yang diperam sempurna bagi menghasilkan tekstur lembut di bahagian dalam dan rangup di bahagian luar.

Menariknya, walaupun terletak di lokasi prestij di tengah ibu kota, harga pizza di restoran ini masih dianggap berpatutan dengan harga bermula sekitar RM30 hingga RM48.

Selain pizza, hidangan pasta turut menjadi kegemaran pelanggan terutama truffle fettuccine yang terkenal dengan tekstur berkrim dan aroma truffle yang cukup memikat selera.

Risotto di restoran ini juga sering menerima pujian kerana dimasak dengan teknik sempurna sehingga menghasilkan rasa yang kaya dan seimbang.

Bukan itu sahaja, restoran ini turut menyediakan pelbagai menu tempatan bagi memenuhi cita rasa pelanggan yang ingin menikmati makanan Malaysia dalam suasana premium.

Antara menu tempatan yang ditawarkan termasuk sate, bubur nasi, dry wanton noodles, nasi lemak pandan bersama rendang daging wagyu, nasi goreng kampung dengan ayam goreng krispy, ayam kari hijau dan laksa kari.

Menurut Sonny, penyediaan menu tempatan itu membuktikan bahawa restoran berkenaan bukan sahaja mengetengahkan makanan Itali, malah menghargai kepelbagaian cita rasa masyarakat Malaysia.

Bagi pecinta pencuci mulut pula, tiramisu di restoran ini sering dianggap antara yang terbaik di Kuala Lumpur kerana teksturnya yang lembut, berkrim dan seimbang dengan rasa kopi yang tidak terlalu kuat.

Selain makanan yang memikat selera, M Marini Grand Caffè & Terrazza juga terkenal dengan layanan profesional dan mesra daripada kakitangannya yang sentiasa peka terhadap keperluan pelanggan.

Secara keseluruhannya, restoran ini bukan sekadar lokasi menjamu selera, tetapi sebuah destinasi gastronomi eksklusif yang menawarkan gabungan makanan lazat, suasana mewah dan pengalaman santapan bertaraf premium kepada setiap pengunjung. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN