Ibadah korban: Siapa yang lebih memerlukannya?

Ibadah korban: Siapa yang lebih memerlukannya?

Petugas Surau Tarbiah Perumahan Awam Sri Sabah melakukan kerja melapah daging penyembelihan lembu sempena Hari Raya Aidiladha, di Kuala Lumpur, tahun lalu. – MINGGUAN/ SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IBADAH korban yang menjadi antara syiar utama umat Islam setiap kali sambutan Aidiladha semakin menunjukkan perkembangan yang menarik apabila ramai memilih untuk melaksanakannya di luar negara.

Perkembangan ini bagaimanapun menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan masyarakat, khususnya mengenai keutamaan antara melaksanakan ibadah tersebut di tanah air atau di negara lain yang lebih memerlukan.

Menurut Pengurus Yayasan Mawar Pulau Pinang yang juga pendakwah bebas, Farwah Ahmad Fahmi, kedua-dua pilihan tersebut adalah harus dan sah di sisi syarak.

Namun, jelas beliau, melaksanakan ibadah korban di negara sendiri adalah lebih afdal, terutamanya jika masih terdapat golongan fakir miskin yang memerlukan bantuan.

“Sekiranya keperluan fakir miskin di negara sendiri telah dipenuhi, maka tidak menjadi kesalahan untuk melaksanakan korban di luar negara pula bagi memperluaskan manfaat kepada umat Islam lain,” katanya kepada Mingguan Malaysia, baru-baru ini.

Tambah beliau, faktor keperluan penerima manfaat juga memainkan peranan penting dalam menentukan keutamaan lokasi pelaksanaan korban.

“Jika terdapat negara yang berdepan kebuluran, konflik peperangan atau kemiskinan yang kritikal, maka menyalurkan ibadah korban ke kawasan tersebut adalah dibolehkan.

“Namun begitu, keputusan itu perlu dibuat setelah memastikan keperluan golongan fakir miskin di dalam negara sudah mencukupi,” katanya.

Sementara itu, Farwah menjelaskan, dari sudut sunnah, menyaksikan sendiri proses penyembelihan korban adalah satu amalan yang sangat dianjurkan.

Bagaimanapun, katanya, pelaksanaan korban secara wakalah atau perwakilan tetap dibenarkan dan tidak menjejaskan kesahan ibadah.

Menurut beliau, kaedah wakalah hanya menyebabkan seseorang tidak memperoleh sebahagian fadhilat tambahan, tetapi tidak menjejaskan rukun korban itu sendiri.

“Dalam aspek lain, korban yang dilaksanakan di dalam negara turut memainkan peranan penting dalam menghidupkan syiar Islam dalam masyarakat setempat.

“Ia bukan sahaja membantu golongan memerlukan, malah mendidik masyarakat mengenai kepentingan ibadah korban.Selain itu, ia juga mampu mengukuhkan hubungan komuniti Islam melalui aktiviti gotong-royong dan pengagihan daging korban,” katanya.
Mengulas lanjut, Farwah berkata, umat Islam perlu memahami makna sebenar ibadah korban yang melangkaui sekadar proses penyembelihan haiwan.

Katanya, ibadah korban merupakan manifestasi kecintaan kepada Allah SWT, sebagaimana ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim AS dalam peristiwa pengorbanan yang agung.

“Selain itu, ibadah korban juga mencerminkan nilai kasih sayang dan keprihatinan terhadap sesama manusia. Justeru, pemilihan lokasi pelaksanaan korban tidak seharusnya menjadi isu utama. Sebaliknya, yang lebih penting sejauh mana ibadah tersebut memberi makna kepada agama, diri dan umat keseluruhannya.

“Jadi, pilihan terbaik bukan soal di mana, tetapi, sejauh manakah ibadah korban itu membawa manfaat dan mendekatkan kita kepada Allah,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN