Pindaan Akta Mara dalam fasa terakhir

Pindaan Akta Mara dalam fasa terakhir

ASYRAF Wajdi Dusuki berucap pada Majlis Sambutan 60 Tahun Mara di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (Mara) kini dalam fasa akhir untuk melakukan pindaan terhadap Akta Mara 1966 bagi memastikan institusi itu kekal relevan dengan realiti zaman sekarang dan akan datang.

Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, hampir dua pertiga daripada pindaan yang dicadangkan adalah melibatkan aspek tata kelola dan pengurusan korporat yang lebih berkesan.

Katanya, Akta sedia ada yang sudah berusia 58 tahun itu dilihat mempunyai kelonggaran, terutamanya melibatkan pemusatan kuasa yang terlalu besar kepada Pengerusi dan Mara sehingga mendedahkan organisasi kepada risiko pelanggaran integriti.

“Zaman 60-an dahulu mungkin tidak ada istilah tatakelola korporat yang moden. Apa yang ada sekarang ialah Pengerusi menurunkan kuasa kepada pengurusan dan ini boleh mewujudkan kecenderungan atau risiko salah guna kuasa.

“Dalam konteks moden, perlu ada pengasingan jelas antara Lembaga Pengarah dengan pihak pengurusan. Ini adalah pembaharuan penting yang sedang kita usahakan,” katanya ketika ditemui media di Pusat Dagangan Antarabangsa Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.

Asyraf Wajdi berkata, usaha meminda akta tersebut merupakan amanah daripada Perdana Menteri yang mahukan aspek integriti dan tatakelola kewangan Mara berada pada tahap tertinggi.

“Kita mahu noktahkan ‘sejarah hitam’ yang pernah berlaku dahulu. Tanpa kompromi dalam soal integriti, kita akan pastikan lonjakan agenda Bumiputera dapat diperkasakan dengan lebih hebat tanpa sebarang ketirisan, kebocoran atau pembaziran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN