Masjid bukan sekadar tempat ibadah

Masjid bukan sekadar tempat ibadah

ZULHAFIZ OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENELUSURI sejarah Rasulullah SAW dan para sahabat, masjid adalah nadi kepada pembangunan ummah. Bukan sekadar ruang ibadah, tetapi pusat segala urusan kehidupan umat Islam.

Berkongsi pandangan dengan Mingguan Malaysia, Imam Muda Masjid Nurul Anuar, Dalam Rhu, Pasir Puteh, Ustaz Zulhafiz Othman berkata, masjid terserlah berfungsi menjana kesejahteraan kepada umat Muslim meliputi keperluan duniawi dan ukhrawi.

Menurutnya, fungsi utama masjid semestinya tempat ibadah. Namun, solat di masjid bukan sekadar rutin harian malah ia adalah madrasah pembentukan rohani.

“Solat berjemaah mengajar kita nilai disiplin, menjaga masa, kebersihan, dan berukhuwah.

USTAZ ZULHAFIZ OTHMAN
Umur: 34 tahun
Asal : Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Batu Mengkebang, Kuala Krai, Kelantan
Sejarah pendidikan:
Ijazah Sarjana Muda Dakwah dan Pengurusan Islam, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Nilai, Negeri Sembilan
Maahad Rahmaniah Kuala Krai, Kelantan
Tugas hakiki:
Imam Muda Masjid Nurul Anuar, Mukim Dalam Rhu, Pasir Puteh, Kelantan.

“Firman Allah SWT dalam Surah At-Taubah ayat 18 bermaksud –

Sesungguhnya yang memakmurkan masjid-masjid Allah hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat,” katanya ketika ditemui di Masjid Nurul Anuar baru-baru ini.
Sabda Rasulullah SAW: “Solat berjemaah lebih afdal daripada solat bersendirian sebanyak 25 darjat.”
(Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)

Zulhafiz berkata, dalam sejarah, Masjid Nabawi bukan sahaja tempat solat, malah juga universiti terbuka pertama umat Islam.

Katanya, Rasulullah SAW sendiri mengajar para sahabat di serambi masjid dan hari ini, masjid masih menjadi tempat kuliah, halaqah, dan tadabbur.

“Ilmu adalah cahaya, dan masjid adalah pelitanya. Bertepatan dengan sabda nabi SAW yang diriwayatkan Imam Muslim: ‘Barangsiapa menempuh satu jalan untuk mencari ilmu, Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga, ”ujarnya.

Menurut Zulhafiz, masjid menyatukan umat tanpa mengira darjat, umur, atau keturunan bersandarkan kedudukan alam saf solat, tiada beza antara yang berpangkat atau rakyat biasa membuktikan masjid adalah simbol kesamarataan dalam Islam.

Katanya, aktiviti gotong-royong, kenduri rakyat, sambutan Aidilfitri dan Aidiladha, mesyuarat kariah dan lain-lain yang dianjurkan menjadikan masjid sebagai jambatan kasih sayang.

“Masjid hari ini juga memainkan peranan besar dalam menyantuni golongan asnaf. Agihan zakat, bantuan makanan, dana kecemasan dan pengurusan wakaf—semua ini digerakkan dari masjid.

“Dalam konteks pembentukan akhlak dan sahsiah – Ceramah, tazkirah dan majlis ilmu di masjid ibarat baja yang menyuburkan iman. Ketika masyarakat dilanda gejala sosial, masjid menawarkan solusi dengan memperkukuh jiwa,”katanya.

Zulhafiz berkata, masjid juga tidak harus tertutup kepada Muslim sahaja malah berfungsi sebagai pentas dakwah dan penerangan iaitu medan dakwah kepada semua.

“Termasuk kelas mualaf, dialog antara agama dan program terbuka menjadikan masjid sebagai jambatan penghubung antara masyarakat majmuk.

“Kesimpu­lannya, marilah kita hidupkan masjid sebagai denyut nadi umat Islam. Jika ia hidup, masyarakat juga hidup. Marilah kita bukan sahaja menunaikan solat di dalamnya, tapi menyumbang idea, masa, dan tenaga demi kemakmuran ummah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×