MEMELIHARA tulisan Jawi antara perkara yang sering diberi penekanan oleh seorang guru agama, Mohd. Umar @Kasman Mohamed Noor dalam majlis ilmu dan pengajian agama yang disampaikannya di masjid dan surau di sekitar Bagan Datuk, Perak.
Mohd. Umar, 87, yang masih aktif mengajar ilmu agama ini mahu melihat tulisan Jawi tetap hidup dalam masyarakat Islam. Ini kerana tulisan itu pernah menjadi peradaban dan lambang jati diri bangsa Melayu suatu ketika dahulu.
Baginya, walaupun peranan tulisan Jawi kini sudah diambil alih oleh tulisan Rumi, namun adalah menjadi tanggungjawab orang Melayu memastikan tulisan Jawi kekal dipelihara sampai bila-bila.
Menurutnya, amat merugikan orang Melayu dan Islam sekiranya tulisan Jawi semakin terabai dan tidak mustahil akan lenyap begitu sahaja. Apatah lagi tulisan Jawi amat dekat dengan ilmu agama kerana banyak kitab lama ditulis dalam tulisan Jawi.
“Tulisan Jawi ini penting kerana ia merupakan tulisan penyebaran ilmu agama dan digunapakai secara meluas dalam komunikasi orang Melayu suatu ketika dahulu.
“Tulisan jawi merupakan salah satu daripada warisan peradaban dan lambang jati diri bangsa Melayu yang wajib dipelihara.
“Walaupun hari ini tulisan Jawi tidak lagi banyak digunakan dalam masyarakat tetapi sebagai orang Melayu, kita mesti mempunyai rasa tanggungjawab memastikan tulisan ini terus digunakan, jangan sampai ia lenyap begitu sahaja,” katanya.
Menurutnya, daripada segi sejarah, tulisan Jawi amat dekat dengan penyebaran ilmu agama di Nusantara.
Katanya, adalah merugikan jika masyarakat Melayu Islam hari ini tidak tahu membaca dan menulis Jawi.
Jelasnya, penggunaan tulisan Jawi boleh disemarakkan lagi dalam kehidupan seharian masyarakat dan tidak hanya mengehadkan pembelajarannya di sekolah-sekolah agama sahaja.
“Adalah tidak wajar jika kita tidak mengenal tulisan jawi. Jangan lupakan tulisan jawi, jika tidak kita, siapa lagi yang akan menggunakan dan menjaga tulisan jawi?
“Kalau keadaan ini berterusan, lama-kelamaan orang Melayu langsung tidak tahu membaca dan menulis tulisan jawi. Tulisan Jawi inilah yang mengangkatkan agama dan bangsa Melayu suatu ketika dahulu, jadi jangan lupakan tulisan ini,” katanya.
Jelasnya, memastikan tulisan Jawi terus hidup adalah usaha semua pihak sama ada kerajaan dan orang Melayu sendiri terutama ibu bapa.
Katanya, ibu bapa perlu memupuk minat anak-anak dalam mempelajari tulisan Jawi dan tidak hanya terhad semasa di sekolah agama sahaja.
“Tulisan jawi penting dan sangat berguna untuk menjadi orang yang berilmu terutama pengajian agama. Sebagai orang Islam, kita kita mesti pandai dengan ilmu-ilmu agama menerusi pembelajaran secara kitab yang banyak ditulis dalam tulisan Jawi,”katanya.
Sementara itu, Mohd. Umar berharap umat Islam juga tidak mengabaikan ilmu agama terutama ilmu asas seperti fardu ain, tauhid, fikah, tasawuf dan bahasa arab dan menjadikan ia sebagai teras dan panduan dalam menjalani kehidupan seharian.
Kerana mahu melihat masyarakat tidak ketinggalan dalam ilmu agama, Mohd. Umar masih menguatkan tenaganya mengajarkan ilmu agama di masjid dan surau di sekitar Bagan Datuk.
Menurutnya, dia masih menggagahkan dirinya untuk menyampaikan kuliah Duha di masjid dan surau di Bagan Datuk dua minggu sekali.
“Ilmu tajwid membolehkan kita mempelajari cara bacaan al-Quran dengan baik dan betul terutama dari segi sebutan.
“Dalam kesibukan kita dengan urusan dunia, jangan lupakan agama yang menjadi panduan dalam kehidupan sehari, lebih penting mencari bekalan di akhirat nanti,” katanya. – UTUSAN









