Mohamed Sarif pesan belajar agama ketika usia muda

Belajarlah agama ketika usia muda

MOHAMED Sarif Mohamed Ihsan dan isterinya, Aminah Kiyai Abas, mengajar agama di rumah mereka. – MINGGUAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM usia 86, khidmat seorang guru agama kampung, Mohamed Sarif Mohamed Ihsan masih diperlukan oleh masyarakat sekitar Bagan Datuk.

Berasal dari Parit 2, Sungai Sumun di Bagan Datuk, dalam usianya sekarang, Mohamed Sarif masih mengajarkan ilmu agama untuk masyarakat setempat.

Dia mengajarkan al-Quran di rumahnya sambil dibantu isterinya, Aminah Kiyai Abas, 74. Masyarakat setempat yang datang belajar dengannya terdiri daripada pelbagai peringkat usia kanak-kanak hingga ke dewasa.

“Sebelum ini saya ada juga mengajarkan ilmu agama di masjid-masjid juga mengajarkan al-Quran ke rumah-rumah penduduk di sini. Saya sanggup bermotosikal ke rumah mereka, asalkan dapat mencurahkan ilmu agama.

“Saya tidak boleh duduk sahaja tanpa memberikan ilmu bermanfaat kepada saudara seagama. Namun disebabkan faktor usia, saya sudah tidak mampu untuk bergerak jauh seperti dulu, sekarang saya hanya mengajar al-Quran di rumah sambil dibantu isteri. Saya akan terus mencurahkan ilmu agama untuk masyarakat selagi termampu atas dasar tanggung jawab menyebarkan ilmu agama,” katanya.

Mohamed Sarif gembira kerana khidmatnya sebagai guru agama kampung sepertinya masih diperlukan dan mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.

“Saya bersyukur kerana dalam usia sekarang ramai yang masih mahu belajar agama dengan saya. Ini menunjukkan peranan guru agama kampung masih diperlukan untuk bersama-sama membina masyarakat berteraskan Islam,” katanya.

Menceritakan pengalamannya menimba ilmu agama, Mohamed Sarif berkata, keluarganya menitik beratkan soal agama dan memberi galakan agar dia mendalami ilmu agama.

Katanya, dia mula belajar agama di madrasah di sekitar kampungnya di Bagan Datuk sebelum menambahkan ilmu sebuah madrasah di Johor selama lima tahun.

Ketika belajar di Johor, antara guru dan tokoh agama terkenal yang dikenalinya ialah Tuan Guru Salleh Musa, tokoh ulama Tauhid dari Bukit Gambir, Johor . Sekitar 1970-an, dia kembali ke kampung di Parit 2 Sungai Sumun, Hutan Melintang di Bagan Datuk dan bertemu jodoh dengan Aminah. Sejak itu, dia mula mengajarkan agama kepada masyarakat setempat sehingga hari ini.

“Niat saya mengajarkan ilmu agama kerana saya mahu orang Melayu, Islam mempunyai ilmu agama bukan sekadar untuk beramal ibadah tetapi akhlak adab dan tingkah laku yang baik, muamalat hubungan sesama manusia.

“Hanya dengan Islam dapat membentuk keperibadian dan akhlak yang baik dan mengelak diri daripada melakukan perkara yang bertentangan dengan Islam.

“Ilmu fardu ain bukan sahaja penting untuk kehidupan di dunia, tetapi juga untuk kehidupan di akhirat dengan mengamalkan ilmu ini, kita akan mendapat ketenangan dan kebahagiaan di dunia, serta kejayaan di akhirat,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Sarif berharap orang Islam belajar ilmu agama kerana ia merupakan kewajiban bagi setiap orang Islam.

Jelasnya, orang Islam perlu mengutamakan ilmu yang wajib barulah mencari ilmu-ilmu lain.

“Dalam belajar agama, kita hendaklah menuntut ilmu yang mengutamakan ilmu yang hukumnya fardhu ain, pelajari fardu ain terlebih dahulu. Belajar bab akidah, halal-haram, apa kewajiban sebagai orang Islam dan apa yang dilarang agama.

“Setelah lengkap ilmu fardu ain, boleh mempelajari ilmu-ilmu lain seperti ilmu-ilmu yang bersifat sunah,” katanya.

Selain itu, kata Mohamed Sarif, masyarakat tidak perlu malu dalam menuntut ilmu walaupun sudah mencapai usia dewasa.

“Kalau boleh belajarlah ilmu agama sejak kecil, manfaatkan usia itu dengan baik, jangan mempersia-siakan masa apatah lagi melewat-lewatkan belajar agama.

“Kalau sudah dewasa baru hendak belajar agama bukan tidak boleh tetapi ketika itu mungkin perasaan malu sudah menguasai diri dan ini merugikan. Bersungguh-sungguhlah dalam mencari ilmu agama,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN