BOLEH dikatakan hampir semua cerita dan kisah dipaparkan dalam media sosial dalam perkembangan teknologi maklumat masa kini. Daripada kisah hal semasa sehinggalah kisah peribadi, semuanya boleh dikongsi oleh sesiapa sahaja.
Malah, kalau dilihat pada zaman sekarang, tidak dinafikan ada yang menjadikan laman sosial dan menjadikan Facebook, platform X dan Instagram sebagai tempat meluah perasaan.
Bagaimanapun, adakalanya kisah yang menjadi paparan di media sosial melampaui batas dan tidak sesuai untuk dikongsi serta menjadi tatapan ramai.
Ini termasuk curahan hati bagi pasangan suami isteri yang mempunyai masalah rumah tangga dan ada kisah yang menceritakan aib serta memburukkan suami, isteri, adik-beradik dan ibu bapa.
Menurut Ustaz Khairol Ikhwan@Mohd. Fithri Khoza, Allah SWT melarang umat Islam mencari aib, mengumpat dan memfitnah orang lain termasuk pasangan suami isteri sebagaimana dalam Surah Al-Hujurat ayat 12.
Khairol Ikhwan @ Mohd Fithri B. Khoza
Asal: Kedah
Jawatan terkini: Pensyarah di Fakulti Pengajian Islam Universiti Malaysia Sabah (UMS)
Pendidikan: Ijazah Sarjana Fiqh dan Usul Fiqh di Universiti Islam Antarabangsa (UIA)
————————————————————————————————
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain.
Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.” Al-Hujurat ayat 12.
“Maka terdapat larangan Allah SWT yang membawa kepada haram dan perbuatan ini termasuk dalam dosa besar dalam surah berkenaan.
“Malah, apabila bercakap soal masalah rumah tangga, Allah SWT turut berfirman bahawa isteri-isteri itu seumpama pakaian bagi suami dan begitu juga sebaliknya. Sebab itu, tidak boleh mendedahkan aib sesama sendiri dan ia perbuatan yang ditegah,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Menurutnya lagi, apa yang membimbangkan ramai rakan alam maya mengetahui masalah yang dialami dan ia menjadi satu perbuatan yang sangat memalukan serta tidak boleh dicontohi.
Dalam pada itu, Ustaz Khairol Ikhwan berkata, perumpamaan bahawa suami isteri seperti pakaian memberi bukti jelas mereka seharusnya saling menutup keaiban dan saling memelihara kehormatan masing-masing.
“Ayat ini menuntut pasangan suami isteri untuk menuntut aib masing-masing selain menjalani kehidupan dengan tenteram,” ujarnya.
Menurut Ustaz Khairol Ikhwan lagi, manusia paling buruk di sisi Allah SWT ialah lelaki yang bersetubuh dengan isteri kemudian menyebarkan rahsia isteri di khayalak umum atau hal sebaliknya.
Justeru, beliau menasihatkan agar pasangan suami isteri yang mempunyai masalah meluahkan kepada pihak yang layak bagi menyelesaikan masalah.
“Cerita masalah kepada pihak tertentu dan layak sahaja seperti kaunselor, ustaz atau ustazah, peguam serta hakim ketika berada dalam kamar mahkamah.
“Pasangan perlu berbincang secara baik bukannya cerita kepada umum. Ia sesuatu yang dilarang dan merupakan dosa besar,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya sama ada seseorang isteri menderhaka pada suami atau tidak apabila menceritakan kisah rumah tangga di media sosial, beliau berkata, ia tidak sama sekali.
“Menderhaka itu apabila isteri mengingkari perintah suami atau dia tidak taat.
“Sebagai contoh, suami menyuruh si isteri duduk di rumah tetapi isteri keluar tanpa ada hajat yang perlu.Maka derhaka. Apabila derhaka atau nusyuz, maka ada hukum berkaitannya iaitu salah satunya gugur nafkah untuk mereka yang nusyuz,” jelasnya. – UTUSAN









