Anak mualaf medium dakwah berkesan

Anak mualaf medium dakwah berkesan

NUR MOHAMMAD Hadi Zahalan (dua dari kiri) melakukan lawatan di tapak Kompleks Akademi Al Bayan bersama Ahli Parlimen Alor Gajah, Adly Zahari (dua dari kanan) di Kampung Pegoh, Alor Gajah, Melaka. – MINGGUAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANAK-anak mualaf adalah aset berharga umat Islam dan amat merugikan jika mereka diabaikan daripada mendapat pendidikan Islam yang sempurna.

Itu luahan Pengerusi Eksekutif Al Bayan Global, Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan yang sedang dalam perancangan membina pusat tahfiz untuk anak mualaf yang pertama di negara ini.

NUR MOHAMMAD HADI ZAHALAN

Sebagai anak kepada seorang saudara baharu, ketika zaman kanak-kanaknya beliau pernah berdepan situasi dihadapi rata-rata anak mualaf yang sukar untuk mendapat akses kepada pendidikan Islam.

Jelasnya, anak mualaf adalah medium dakwah paling berkesan bagi menyampaikan Islam kepada orang bukan Islam kerana mempunyai persamaan latar belakang, contohnya boleh bertutur dalam bahasa ibunda yang sama.

“Proses dakwah mengajak orang kepada agama Islam akan lebih berkesan apabila pendakwah menggunakan medium bahasa bangsa mereka sendiri.

“Pusat tahfiz anak mualaf adalah inspirasi dan misi bagi melahirkan pendakwah dalam kalangan mualaf. Ia merupakan usaha murni dan jelas dalam menegakkan kalimah tauhid.

“Kaedah inilah yang menjadi pendekatan Pertubuhan Akademi Al Bayan dalam menyampaikan risalah syariat kepada mereka yang belum Islam,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia baru-baru ini.

Tambah Nur Mohammad Hadi, pusat tahfiz untuk anak mualaf merupakan antara komponen penting dalam pembinaan Kompleks Akademi Al Bayan di Kampung Pegoh, Alor Gajah, Melaka.

Katanya, kompleks yang menggabungkan unsur tiga budaya utama di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India itu sedang dalam proses pembinaan hasil sumbangan umat Islam negara ini dan dari Thailand, Brunei serta Singapura.

“Kompleks yang memaparkan tiga budaya melalui seni binanya iaitu kesenian budaya Kesultanan Melayu Melaka mewakili bangsa Melayu termasuk Cina dan India, merupakan blueprint dan idea yang baik dalam menyampaikan dakwah.

“Di mana seseorang tidak perlu melupakan asal-usul bangsanya, sekalipun mereka memeluk Islam.

“Saya yakin kompleks ini akan menjadi tarikan baharu dan destinasi wajib dikunjungi pelancong yang bercuti ke Melaka. Selain menjadi simbolik kepada kesepaduan dan kemakmuran rakyat berbilang bangsa di negara ini yang hidup dalam suasana harmoni,” katanya. – MINGGUAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya