BOLEH dikatakan lebih 100 acara larian maraton diadakan di seluruh negara dalam tempoh setahun tanpa mengira sama ada dalam skala besar atau sebaliknya.
Acara yang semakin mendapat sambutan ramai ini sudah menjadi satu trend yang bukan sahaja dapat menggalakkan gaya hidup sihat tetapi merangsang pelbagai sektor terutama industri sukan.
Namun, di sebalik pelbagai kejohanan, terdapat persoalan yang timbul berhubung aktiviti tersebut dan latar belakang penganjur, terutama apabila membabitkan institusi perbankan.
Antara persoalan yang timbul adalah sama ada dibenarkan atau tidak untuk seseorang Muslim menyertai pertandingan maraton anjuran institusi yang berunsurkan riba.
Menurut Ustaz Mohamad Bilal Mohd. Zain, seseorang itu dibenarkan untuk menyertai acara maraton selagi tidak ada unsur riba dalam penganjuran satu-satu kejohanan.
“Kalau tiada unsur yang dilarang (riba) ketika kejohanan berlangsung tiada masalah.
“Ini kerana ada institusi yang bahagiannya diniagakan dengan kaedah patuh syariah dan ada yang tidak. Kalau jelas tiada unsur haram pada kejohanan dan kita tidak terbabit, tiada apa-apa masalah,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Dalam pada itu, Mohamad Bilal juga berkata, sesuatu hukum tidak boleh terlalu khusus untuk dilaksanakan secara umum.
“Analoginya begini. Kalau sesebuah syarikat kapal terbang itu dihidangkan arak, adakah kita tidak boleh naik kapal terbang itu?
“Jadi, kalau kita tidak terlibat dalam riba itu, maka ia tidak dilarang,” jelasnya.
Tambah Mohamad Bilal, seseorang peserta Muslim juga dalam masa sama perlu mengikut tatacara pemakaian sebagaimana yang ditetapkan Islam ketika menyertai satu acara maraton selain dalam kehidupan seharian.
“Menutup aurat itu wajib ke atas setiap Muslim.Tidak boleh tidak perlu ikut perintah yang ditetapkan Allah SWT.
“Janganlah disebabkan mahu keselesaan sewaktu berlari, kita ketepikan perintah tersebu,”katanya.
Beliau pada masa sama berkata, setiap Muslim perlu menjaga solat tanpa mengira walau di mana mereka berada.
“Biasanya mungkin ada yang mulakan larian sebelum Subuh. Jadi, pelari perlu merancang di mana tempat yang sesuai untuk menunaikan solat kerana ia menjadi kewajipan setiap Muslim,” katanya.
Ustaz Mohamad Bilal kini adalah guru agama di Maahad Tarbiah Islamiah Derang, di Pokok Sena, Kedah dan juga salah seorang pemimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Kedah.
Mohamad Bilal Mohd. Zain
Umur: 38 Tahun
Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Syariah (Syria)
Jawatan terkini: Guru di Maahad Tarbiah Islamiah Derang, Pokok Sena, Kedah










