Sengketa politik ujian umat Islam - Utusan Malaysia

Sengketa politik ujian umat Islam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SENGKETA politik, fitnah memfitnah dan kebencian adalah sebahagian ujian yang boleh meleraikan ikatan persaudaraan sesama Islam yang memerlukan muhasabah diri untuk memperbaikinya.
Justeru bersatu padu adalah sumber kekuatan yang perlu diberi keutamaan kerana Islam adalah agama yang menekankan aspek keamanan, persefahaman, saling menyayangi saudara seagama dan manusia sejagat.
Berkongsi pandangan berkaitan hal ini, Mudir Pondok Hidayatul Mubtadiin Kampung Dalam Rhu, Pasir Puteh, Kelantan, Ustaz Mohd. Haniff Abdul Kadir berkata, perkara utama yang perlu diperjuangkan umat Islam di negara merdeka ini adalah perpaduan.
“Hindarkan perbalahan dan persengketaan yang merugikan. Sebaliknya, akrabkan kesatuan untuk menyerlahkan umat Islam tampil kuat bukannya berpecah belah.
“Sesungguhnya akidah tauhid adalah asas dan ikatan paling kuat kepada penyatuan dan kebersamaan sesama sendiri,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di Pasir Puteh baru-baru ini.
Tambah Mohd. Haniff, sekiranya emosi dan sikap yang keji terhasil daripada fitnah dan kebenciaan gagal dibendung, ia akan membawa kepada perpecahan yang merugikan dan boleh membawa musibah kepada umat Islam secara keseluruhan.
“ Jadi, hindarkan perkara yang menjurus kepada bibit perpecahan. Perbezaan yang boleh membawa kepada persengketaan dan permusuhan perlu diuruskan dengan bijaksana bukan dibiarkan menjadi barah yang mem­binasakan.
“Elakkan tabiat perli-memerli, keji-mengeji dan caci-mencaci antara kelompok yang berbeza dalam kalangan umat Islam.
“Perbalahan dan pertelingkahan bukan perkara menguntungkan. Namun, tegur menegur dan saling nasihat menasihati secara berakhlak lebih dianjurkan berasaskan rujukan al-Quran dan hadis,” katanya.
Mohd. Hanif menambah, Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud:
“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya”. (Surah al-Imran, 3: 103)
Menurutnya, usaha mengukuhkan persaudaraan dan kesatuan di antara pihak yang bersengketa perlu diterajui oleh para pemimpin dalam kalangan umat Islam sendiri.
“Mereka harus menjadi teladan utama menyahut agenda perpaduan dengan berpegang kepada prinsip Islam dalam memelihara tali persaudaraan dan menyuburkan rasa kasih sayang dalam kalangan umat sebagai satu mesej dakwah kepada masyarakat pelbagai agama dan bangsa yang ada di negara ini,” katanya.
Menurut beliau, Rasulullah SAW merupakan teladan terbaik dalam merencanakan agenda perpaduan yang berdasarkan sirahnya.
Tambahnya, langkah pertama yang diambil baginda dalam menjalinkan tali persaudaraan antara kaum Muhajirin dengan Ansar di Madinah merupakan petunjuk kepada kepentingan persaudaraan dan perpaduan umat Islam dalam usaha membentuk sebuah negara dan masyarakat sejahtera.

USTAZ MOHD. HANIF ABDUL KADIR
» Usia: 32 tahun
» Asal : Kampung Gunung, Bachok, Kelantan
» Profil pendidikan:
Maahad Muhammadi Kota Bharu – Sijil Tinggi Agama Malaysia
Pondok Pengajian Islam Seligi Pasir Puteh, Kelantan
Pusat Pengajian Islam Taring Hadratulmaut, Yaman
» Tugas hakiki: Mudir Pondok Hidayatul Mubtadiin

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.