Dalami ilmu dan garis panduan Islam sebelum berpoligami - Utusan Malaysia

Dalami ilmu dan garis panduan Islam sebelum berpoligami

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEBELAKANGAN ini, isu poligami dilihat menjadi polemik hangat dalam kalangan masyarakat sehingga menjadi perdebatan di media sosial.
Kegusaran yang timbul itu mungkin disebabkan oleh tindakan sesetengah pihak yang menggunakan hukum berpoligami dalam Islam sebagai alasan untuk berkahwin lebih daripada seorang tanpa mengambil kira tentang dosa sekiranya si suami gagal untuk berlaku adil terhadap isteri-isterinya.
Seperti sedia maklum, hukum poligami dalam Islam pada asalnya adalah harus namun dalam beberapa hal, ia boleh berubah mengikut keadaan semasa seseorang.
Mudir Madrasah Addiniah Islamiah (MADI) Jejawi Dalam, Ustaz Zul Hilmi Rasid, 40, berkata, setiap lelaki yang mempunyai keinginan untuk berpoligami perlu mendalami ilmu berkaitan poligami dan garis panduan ditetapkan dalam Islam melalui jabatan agama bagi memastikan ia mengikut syariat yang ditetapkan.
“Ini supaya tindakan poligami itu mengikut lunas-lunas agama yang benar kerana setiap syariat sama ada membenarkan atau mengharamkan sesuatu adalah datang daripada pencipta iaitu Allah SWT,” katanya kepada Mingguan Malaysia, baru-baru ini.
Zul Hilmi berkata, antara syarat utama untuk seseorang lelaki berpoligami adalah berkemampuan berlaku adil terhadap setiap isteri-isterinya seperti mana yang termaktub di dalam al-Quran.
Beliau menambah, perkara ini secara jelas telah dinyatakan melalui Surah An-Nisa’ ayat 3 yang bermaksud: “Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.”
“Oleh itu, poligami itu adalah haram sekiranya diyakini bahawa lelaki itu tidak mampu berlaku adil kepada isteri-isterinya.
“Sementara itu, ia disunatkan sekiranya lelaki itu mempunyai keperluan untuk berkahwin lain di mana jika beristeri satu tidak dapat menjadikan dirinya afif (menjaga syahwatnya daripada zina dan maksiat), atau isteri itu sakit, atau mandul tidak dapat mengandung, sedangkan suami itu inginkan anak, dalam keadaan suami itu memiliki keyakinan untuk berlaku adil antara isteri-isterinya.
“Malah tindakan poligami juga makruh jika ia semata-mata menurut nafsu untuk berseronok, atau tidak yakin terhadap kemampuannya untuk berlaku adil antara isteri-isteri,” terangnya.
Dalam pada itu, Zul Hilmi berkata, Islam juga mengharamkan poligami sekiranya lelaki itu tidak berkemampuan dari segi zahir mahu pun batin.
Katanya, tindakan tersebut akan menyebabkan berlakunya kezaliman ke atas setiap isteri-isterinya sebagaimana yang dijelaskan dalam syarat dan hukum poligami.
“Syarat-syarat poligami secara jelas menyatakan bahawa lelaki itu tidak boleh menyakiti dan menzalimi isterinya malah dia juga perlu memenuhi segala nafkah serta hak-hak isteri dengan sempurna,” jelasnya.

Ustaz Zul Hilmi Rasid
» Umur: 40 tahun
» Asal: Kelantan
» Pendidikan: Kolej Islam Darul Ulum
» Pekerjaan: Mudir Madrasah Diniah Islamiah MADI Jejawi Dalam, Perlis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya