Pemusnah alam perlu bertaubat - Utusan Malaysia

Pemusnah alam perlu bertaubat

Ustaz Muhamad Hana Fizi Abdullah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALAM ini menyerlahkan bukti kebesaran dan kekuasaan Allah SWT Yang Maha Pencipta selain berfungsi kepada manusia memanfaatkannya untuk kesempurnaan hidup. Dengan anugerah ini, manusia boleh menjalani kehidupan dengan baik dan sempurna menerusi segala kemudahan yang ada di dalamnya.
Berkongsi pandangan berkait manfaat alam terhadap manusia, Imam Besar Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), Ustaz Muhamad Hana Fizi Abdullah berkata, Allah SWT menjadikan alam sebagai sumber hasil keperluan termasuk makanan, minuman, tenaga, alat hubungan dan lain-lain yang diperlukan umat-Nya.
Menurutnya, sekiranya sumber alam tidak digunakan sebaik mungkin malah melampaui batas yang sepatutnya, nescaya ia akan kehabisan dan pada ketika itulah manusia akan mengalami krisis kehidupan yang amat dahsyat.
“Allah SWT memberi peringatan kepada manusia agar tidak melakukan kerosakan kepada semua kemudahan yang dianugerahkan-Nya di muka bumi ini.
“Firman Allah dalam surah al-Qasah ayat 77 perlu dihayati sebagai panduan dan pedoman manusia mengolah alam semesta dalam konteks memanfaatkannya tanpa melakukan kerosakan di muka bumi,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Muhamad Hana Fizi berkata, realitinya pada hari ini kerosakan alam sekitar berlaku di seluruh dunia dan berada pada tahap yang serius.
Sebagai contoh, katanya, kemusnahan khazanah hutan yang merupakan elemen penting kepada kitaran kesejahteraan alam sekitar yang semakin membimbangkan.
Tambahnya, kes bencana alam dengan fenomena kepanasan melampau, gempa bumi, tanah runtuh, banjir dan lain-lain mungkin disebabkan kerosakan yang berlaku kesan pengolahan alam yang rakus dilakukan manusia.
“Tahap kualiti alam sekitar juga menjadi rosak kesan aktiviti pencemaran yang dilakukan manusia termasuk pencemaran udara, air, tanah dan pencemaran bunyi.
“Termasuk juga punca pencemaran terhadap komponen alam disebabkan pembuangan sampah tanpa akhlak sama ada dari rumah, sisa pejal perindustrian dan industri,” katanya.
Tegas Muhamad Hana Fizi, sebagai hamba Allah yang patuh terhadap suruhan-Nya, umat manusia perlu menilai kembali setiap perbuatan yang dilakukan tidak mendatangkan mudarat.
Katanya, ulama empat mazhab sepakat bahawa sebarang perbuatan mudarat adalah perbuatan zalim dan berdosa yang mana akan menerima azab pembalasan Allah SWT.
“Kalau soal makan minum kita cukup berkira tentang halal dan haramnya, namun kenapa dalam soal tingkah laku terhadap alam sekitar kita memandang remeh malah sewenang-wenangnya memudaratkannya.
“Bila terlanjur berbuat kerosakan, hendaklah kita segera bertaubat. Sesungguhnya Allah SWT Maha Pengampun. Terus cekal dengan amalan yang dianjurkan Islam dalam konteks menjaga kesejahteraan alam,” katanya.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan Dialah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan dengan beberapa darjat sebahagian kamu atas sebahagian (yang lain) untuk menguji kamu tentang apa yang dikurniakan-Nya kepada kamu. Sesungguhnya Tuhanmu amat cepat siksaan-Nya dan sesungguhnya, Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Surah al-An’am ayat 165)
Justeru, kata Muhammad Hana Fizi, menjadi kewajipan manusia memastikan tiada kemusnahan dan kerosakan alam dilakukan dengan haloba selain tertib dalam menjaga kebersihan dan kesejahteraan alam sekitar. – Mingguan Malaysia 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya