Jaga iktikad, jangan caci Allah dan nabi - Utusan Malaysia

Jaga iktikad, jangan caci Allah dan nabi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENDIDIKAN agama yang menyeluruh berkait soal iman dan ihsan menjadi jambatan kepada umat Islam untuk mentaati Allah SWT dan mencintai Rasulullah SAW.
Pengertian iman dari segi istilah adalah mempercayai Allah dan rasul-Nya dengan pengucapan lisan dan kepercayaan dalam hati sanubari tanpa rasa ragu manakala ihsan pula perilaku baik kepada manusia dan menghindari perbuatan buruk dan jahat termasuk sentiasa ikhlas beribadat kerana Allah.
Berita mengenai individu yang mencaci Allah dan Rasulullah yang dilaporkan dalam media massa baru-baru ini membuktikan aspek iman dan ihsan diabaikan sehingga tutur bicara melampau menjadi mainan tanpa mengetahui hukuman yang termaktub di dalam al-Quran dan hadis.
Berkongsi pandangan bersama Mingguan Malaysia, bekas anak murid ulama tersohor Tok Kenali, Haji Hassan Salleh, 110 berkata, tidak belajar sifat-sifat ketuhanan (sifat 20), mengabaikan solat, tidak belajar sirah rasul dan Islam hanya sebagai warisan keluarga tanpa mengamalkannya menjadi punca seseorang itu sanggup menghina Allah dan Rasulullah.
Menurutnya, hanya akal yang dikuasai syaitan, tidak mendirikan amalan fardhu dan melaksanakan sunnah mendorong individu sedemikian mencari sohor dengan menghina penciptanya sendiri dan Rasulullah tanpa mengkaji akibat yang akan ditanggung.
“Allah SWT maha berkuasa dan tunggulah petaka yang akan diturunkan. Bertindak bagaikan kacang melupakan kulit tanpa mengkaji dirinya dicipta oleh Allah, ini dinamakan derhaka yang tidak boleh dimaafkan. Hukum orang Islam yang menghina Allah dan Rasulullah adalah murtad dan dalam konteks hudud dihalalkan darahnya,” katanya ketika ditemui di Kampung Gong Datuk, Pasir Puteh, Kelantan, baru-baru ini.
Hassan yang sempat berguru dengan Tok Kenali tidak membuka pondok sebaliknya menyampaikan dakwah secara lisan dan bekerja sebagai tukang gunting rambut dengan upah 20 sen bermula pada 1940-an. Hasil tabungan upah gunting rambut itu juga membolehkannya menunaikan fardu haji dengan menaiki kapal laut pada suatu ketika dahulu.
Tambahnya, kecelaruan hidup zaman serba moden ini dengan pengaruh dadah dan arak yang tidak terkawal turut membawa kesesatan kepada umat Islam yang ingkar terhadap larangan Allah SWT.
“Ini terbukti apabila orang yang menghina Islam itu dikhabarkan turut menagih dadah, kaki arak dan mengamalkan gaya hidup Barat dengan melakukan kekufuran,” ujarnya yang masih kuat pendengaran dan penglihatan.
Tambah Hassan, kerajaan (ulil amri) perlu peka dengan perihal ini agar ia tidak berulang dengan mengenakan hukuman lebih berat sebagai pengajaran kepada orang lain.
Katanya, jangan nanti Allah turunkan bala baru hendak ambil iktibar daripada kejadian itu kerana terkena hukuman Allah di dunia ini bukan hanya pelaku maksiat dan mereka yang ingkar tetapi semuanya akan terpalit.

Haji Hassan Sallehan bala baru hendak ambil iktibar daripada kejadian itu kerana terkena hukuman Allah di dunia ini bukan hanya pelaku maksiat dan mereka yang ingkar tetapi semuanya akan terpalit.

“Walaupun usia saya sudah lanjut, saya tetap bersyukur dengan limpah rahmat-Nya dan amat tersentuh dan kesal bila perbuatan menghina Allah dan Rasulullah berlaku dalam masyarakat Islam.
“Hayatilah kebesaran Allah jangan melawan tanpa ilmu nanti terpesong iktikad. Kamu akan murtad dan kafir. Pelajari dan dalami ilmu dalam al-Quran, hadis dan sirah. Molek juga jadi ‘kaki’ masjid untuk solat berjemaah dan menadah ilmu serta mendengar alim ulama mengajar di masjid,” ujarnya.
Katanya, musibah besar seperti banjir dan penyakit berjangkit hanyalah hukuman ringan yang Allah turunkan untuk hamba-Nya insaf.

HAJI HASSAN SALLEH
» Usia: 110 tahun
» Asal: Kampung Gong Datuk, Pasir Puteh, Kelantan.
» Sejarah pendidikan:
 Murid ulama tersohor – Tok Kenali
 Pengajian agama di Pondok Tok Bachok, Kelantan
 Belajar agama dengan Tok Guru Haji Abdul Kadir Pondok Gaal, Pasir Puteh dan berkhidmat di pondok berkenaan selama beberapa tahun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya