Gayong : Ketika menyentuh di permukaan - Utusan Malaysia

Gayong : Ketika menyentuh di permukaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA selalu percaya, filem akan selalu menciptakan magisnya tersendiri. Karakter yang bermain di layar tidak hanya sebagai pelengkap cerita, tapi cermin, memantulkan perjalanan hidup seseorang di kerusi penonton.

Dalam panggung, ada orang mengutip perca dirinya dari cerita yang berlegar. Ada pula yang menemukan jawapan dari cambah konflik yang meliar.

Selalu ada hubungan istimewa antara kita dengan karakter di panggung yang digelar parasocial bond.

Rasa erat dan hangat yang membuat kita merasa dekat dengan perjalanan kewiraan karakter di dalamnya (jika benar acuan naskhahnya).

Ketika Gayong menampilkan perjalanan Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman, naskhah itu bertanggungjawab memperkenalkan kepada kita siapakah Meor dan mengapa dia begitu penting sehingga perlu difilemkan.

Kerana untuk penonton yang tidak mengikuti juga memiliki ilmu tentang persilatan, figura tersebut tidak berada dalam daftar ingatan kami (tanpa merendahkan jasa dan kehebatan Allahyarham).

Menerusi 110 minit di layar, Faisal Ishak dan pasukan penulis skripnya mengeluarkan beberapa titik penting dalam perjalanan Pengasas Pertubuhan Seni Silat Gayong Malaysia itu.

Dari meninggalkan Taiping, kelana ke Singapura sehingga perang melawan Jepun. Kita mengenal Meor sebagai pendekar handalan sepanjang filem ini. Namun, adakah kita betul-betul mengenalnya sebagai manusia?

Melihat kepada filem besar dunia, kita akan faham parasocial bond tidak tercipta dengan saja-saja dan tiba-tiba.

Mengenang Titanic, trologi filem The Lord of the Rings, Romeo+Juliet,Taegukgi, trilogi Koker (sekadar menyebut beberapa) semuanya diperkatakan kerana karakter di dalamnya solid – dengan membawakan tujuh emosi utama manusia.

Dalam buku Affective Neuroscience: The Foundations of Human and Animal Emotions tujuh emosi itu adalah agresif, takut, nafsu, perasaan mencari, prihatin, kesedihan dan kegembiraan sosial.

Setiap karakter akan berasa hidup dan bercakap dengan penonton kerana berputar dalam perasaan ini terutama kehilangan. Bagaimana membawakannya di layar, ia terletak di tangan tukang cerita untuk menjelmakannya.

Namun di dalam Gayong, sayang sekali, Meor ditampilkan dengan sangat berhati-hati demi memelihara keagungannya.

Saya tidak mengatakan ia salah, cuma, saya gagal untuk berempati dengan perjalanannya. Gagal mengenal bagaimana cintanya kepada silat bermula. Ya beliau hebat, itu sahaja.

Sedangkan saya bersedia memahami kegetiran, jatuh dan kehilangannya, silap yang pernah dilakukan sekadar untuk lebih dekat dengan wataknya.

Ada banyak naskhah diambil daripada memoir sebenar seorang guru, ilmuwan, tokoh, namun perjalanannya manusiawi sekali.

Gayong dibikin dengan musuh nyata iaitu Jepun, namun tidak memberikan kita pandangan dan perjalanan karakter lain sekelilingnya.

Memang Meor subjek utama, namun tidak semua perkara harus bercerita tentangnya, bukan?

Walaupun Gayong sekadar menyentuh di permukaan, tidak dalam apa lagi berwarna.

Namun setidaknya, dengan persembahan naskhah filem ini yang jauh lebih baik daripada naskhah berceramah pahlawan Melayu sebelum ini, saya percaya selalu ada hari esok untuk seorang Faisal Ishak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN