PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa dukacita terhadap insiden pengeboman sebuah masjid di Islamabad ketika solat Jumaat, semalam.
Beliau turut menyifatkan serangan yang menyasarkan jemaah itu sebagai tindakan kejam yang bercanggah dengan nilai asas kemanusiaan.
“Saya amat berdukacita atas kehilangan nyawa dalam insiden pengeboman sebuah masjid di Islamabad ketika solat Jumaat semalam.
“Serangan yang menyasarkan jemaah secara sengaja ini merupakan satu penghinaan terhadap nilai asas kemanusiaan, dan ingatan serta doa kami bersama mereka yang kehilangan insan tersayang atau tercedera,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan sekurang-kurangnya 31 orang terbunuh dan 169 yang lain cedera dalam letupan ke atas sebuah masjid Syiah di pinggir ibu negara Pakistan ketika solat Jumaat semalam.
Kumpulan pengganas IS mengaku bertanggungjawab dalam serangan berdarah di Masjid Khadija al-Kubra, yang dianggap paling dahsyat sejak pengeboman hotel Marriot pada 2008.
Tambahnya, beliau yakin pihak berkuasa Pakistan akan menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab sekali gus memastikan keadilan dapat ditegakkan.
“Malaysia berdiri bersama rakyat Pakistan dalam saat dukacita ini. Kami merakamkan takziah kepada keluarga mangsa serta menyatakan solidariti kepada semua yang terkesan akibat serangan tersebut.
“Kami percaya pihak berkuasa akan menjalankan siasatan menyeluruh dan membawa pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan” katanya. – UTUSAN










