MELAKA: Bilangan kes penyakit kanser di Melaka menunjukkan trend peningkatan saban tahun.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, sebanyak 4,325 kes baharu kanser telah direkodkan bagi tempoh 2022 hingga 2024.
Menurutnya, trend itu menunjukkan peningkatan setiap tahun daripada 1,376 kes pada 2022 meningkat kepada 1,520 kes pada tahun 2024.
“Tiga kes kanser yang mencatatkan peratusan tertinggi di Melaka bagi tempoh tersebut ialah kanser payu dara (17.2 peratus), kanser kolorektal (16 peratus) dan kanser paru-paru (9.2 peratus).
“Setiap tahun sebanyak 90 kes dilaporkan dalam tempoh tersebut ini adalah disebabkan gaya hidup tidak sihat yang diamalkan.
“Angka-angka ini seharusnya menjadi peringatan jelas kepada kita semua bahawa isu kesihatan mesti diberi perhatian yang serius, bukan sahaja dari aspek rawatan tetapi juga melalui pencegahan dan pembudayaan gaya hidup sihat,” ujarnya selepas merasmikan Karnival Kesihatan Madani Jom Sihat 2026 di Dewan Yayasan Belia Dunia (WYF) di sini hari ini.
Majlis perasmian tersebut turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam dan Pengerusi WYF, Datuk Mohd. Ridhwan Mohd. Ali.
Sehubungan itu Hee Sem menasihatkan orang ramai untuk menjalani saringan kesihatan berkala dalam usaha mencegah trend peningkatan penyakit kanser di negeri ini.
Menurutnya, situasi itu semakin membimbangkan dan saringan kesihatan amat penting sebagai inisiatif mencegah kelewatan diagnosis. – UTUSAN










