Lima selebriti jadi mangsa penculikan

Lima selebriti jadi mangsa penculikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bergelar seorang selebriti mungkin menjadi impian mereka yang ingin hidup dilimpahi dengan kemewahan, populariti dan glamor yang tidak berkesudahan.

Bagaimanapun, di sebalik indah dan seronoknya kehidupan dunia hiburan, golongan artis juga sering menjadi sasaran mudah mereka yang berniat jahat terutama penjenayah yang tergamak melakukan penculikan termasuk rompakan.

Ini bukan satu cerita yang dibuat-dibuat, bukan dalam filem atau drama yang direka-reka. Tetapi benar-benar berlaku dan menimpa beberapa selebriti Hollywood popular ini.

Berikut ialah antara yang pernah menjadi mangsa penculikan.

Madonna

Madonna pernah diculik oleh bekas suaminya iaitu Sean Penn pada tahun 1989.

Menurut laporan, ketika kejadian, Madonna berada sembilan jam di sebuah tempat yang aneh sewaktu sambutan malam tahun baharu.

Menurut laporan lagi, Madonna ketika kejadian telah diikat, dengan mulut disumbat dengan kain selain telah dipukul dengan teruk. Difahamkan, Sean sedang mabuk ketika itu.

Bagaimanapun, Madonna berjaya melarikan diri dari tempat pengasingan tersebut namun tidak menolak pengalaman tersebut membuatkannya trauma selain tidak dapat dilupakan.

Jessica Alba

Ketika berusia 14 tahun, Jessica pernah menerima beberapa panggilan pelik di set penggambaran filem Flipper sebelum dirinya hilang selama 14 jam.

Menurut laporan, dia ditemui dalam keadaan mata ditutup, mulut disumbat dengan kain dan diikat dalam but sebuah kereta.

Sehingga kini bintang Fantastic Four itu tidak pernah bercakap secara terbuka mengenai insiden ngeri tersebut.

Malah kes itu terpaksa ditutup tidak lama selepas kejadian kerana Jessica gagal memberi maklumat yang diperlukan pihak berkuasa.

Benedict Cumberbatch

Bintang filem Doctor Strange ini pernah berkongsi kepada hos podcast WTF, Marc Maron mengenai pengalamannya diacu pistol di Afrika Selatan pada 2004.

Menurut Benedict, ketika kejadian, kereta yang dinaikinya bersama dua rakan pelakon telah diserang hendap secara tiba-tiba.

“Saya disumbat ke dalam but kereta dan penculik menggunakan tali kasut saya sendiri untuk mengikat pergelangan tangan saya,” ujarnya.

Selepas lebih dua jam, penculik bertindak meninggalkan lokasi kejadian bersama barangan berharga di mana Benedict berpeluang melepaskan diri serta meminta bantuan.

Duffy

Penyanyi kelahiran Wales, Duffy, pernah dilaporkan hilang dari radar industri seni hiburan selama sedekad selepas terselamat daripada satu insiden traumatik.

Pada tahun 2020, Duffy menulis satu kenyataan pendek di laman sesawang mengenai butiran penculikannya namun tidak mendedahkan identiti si penculik.

“Saya diberikan dadah buat kali pertama di sebuah restoran, kemudian selama empat minggu, dan dibawa pergi ke sebuah negara asing.

“Saya telah dikurung di dalam sebuah bilik hotel dan diperkosa. Baharu kini saya boleh melupakan kejadian hitam tersebut dan saya akhirnya bebas,” tulisnya.

Kim Kardashian

Pada 2016, pempengaruh dan selebriti terkemuka dunia ini pernah menghadiri sebuah acara Minggu Fesyen Paris di Perancis bersama keluarganya. Pada suatu malam, keluarga Kardashian keluar untuk berpesta dan meninggalkan Kim sendirian di kamar hotel.

Kim kemudiannya didatangi sekelompok lelaki yang menyamar sebagai anggota polis yang menceroboh masuk ke hotel mewah yang didiaminya dan bertindak kasar terhadapnya.

Kim kemudian diikat dan mulutnya ditutup dan diletakkan di bilik mandi sebelum penjenayah merompak barangan peribadinya yang bernilai jutaan ringgit.

Meskipun tidak terlihat seperti penculikan, Kim mengakui dia saat itu, ada terfikir bahawa ia merupakan satu penculikan. Kejadian tersebut meninggalkan trauma buat Kim.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×