Kelebihan jaga kebajikan anak yatim - Utusan Malaysia

Kelebihan jaga kebajikan anak yatim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANAK yatim ditakrifkan sebagai anak yang kematian ibu atau bapanya manakala sekiranya kematian kedua ibu bapanya ia dinamakan sebagai yatim piatu.
Al-Yatim dari bahasa Arab yang membawa maksud tunggal atau bersendiri. Ibn Manzur menyatakan al-yatim adalah bagi yang kematian ayah dan Al-’Ajiy bagi kematian ibu, manakala al-latim pula melibatkan yatim piatu yang kematian ibu bapa mereka.
Berkongsi bicara mengenai pembelaan kebajikan anak yatim, pengajar Rumah Kebajikan Anak Yatim Dan Dhuafa’ Sri Peraksi Semerak, Kelantan, Ustaz Mohd. Shahrul Nizam Mohamad Yunan berkata, Islam mendefinisikan anak yatim sebagai anak kematian sama ada ibu, bapa atau kedua-duanya sekali ketika mereka belum sampai usia baligh.
Menurutnya, kanak-kanak yang hilang tempat bergantung inilah memerlukan pembelaan sewajarnya sehingga mereka mencapai usia matang yakni baligh dan berupaya berdikari sebagaimana yang dijelaskan dalam hadis yang mana Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak ada keyatiman setelah baligh.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
“Tanggungjawab terhadap mereka pula, selagi mana anak itu masih berada di bawah tanggungan ibu bapa dalam memberikan tempat tinggal, makanan, nafkah, pelajaran, keselamatan dan seumpamanya perlu digalas oleh pewarisnya atau mereka yang berkeupayaan mentadbir anak yatim.
“Sehinggalah mencapai usia dewasa, tamat pengajian dan mampu membiayai diri sendiri dan hidup berdikari, mereka sudah tidak lagi dikategorikan sebagai anak yatim,” katanya kepada Mingguan Malaysia, baru-baru ini.
Mohd. Shahrul Nizam yang popular dengan panggilan Babo Jey berkata, berdasarkan kalamullah ada menjelaskan bahawa umat Islam tidak boleh melakukan kekasaran atau menyisihkan anak yatim kerana mereka adalah golongan terpilih menerima suratan takdir selepas kehilangan ibu bapa.
Firman Allah SWT yang bermaksud; “Oleh itu, adapun anak yatim maka janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya.” (Surah ad-Dhuha, ayat 9)
Tambahnya, rumah yang ada memelihara kelompok tersebut akan diberkati Allah SWT, selain manfaat dan meraih rezeki sebagaimana yang dijanjikan-Nya.
“Melihat semua imbalan yang dijanjikan itu, maka tidak hairanlah mengapa umat pada masa Nabi Muhammad SAW dahulu berlumba-lumba memelihara anak yang sudah kematian bapa atau kedua-dua orang tua mereka.
“Malah, Rasulullah SAW sendiri pun memelihara anak yatim dan menjadikan mereka sebagai anak angkat baginda. Antaranya ialah Zaid bin Tsabit dan Zaid bin Harithah yang semuanya dilayan bagaikan anak sendiri,” katanya.
Justeru, katanya, barang siapa yang membahagiakan dan memenuhi hak anak-anak yatim, agama Islam memberi nilai yang sangat istimewa ke atas mereka.
Menurut Mohd. Shahrul Nizam, Rasulullah SAW memberi jaminan bahawa pahala menyantuni anak yatim adalah setanding dengan pahala orang berjihad, disamakan dengan ganjaran pahala bangun pada waktu malam dan berpuasa di siang hari kemudian dilanjutkan dengan keluar untuk jihad di jalan Allah SWT.
Allah SWT juga, tegasnya, akan memberikan limpahan rezeki dan kemuliaan selain daripada berzikir pembuka rezeki.
Hal ini juga berlaku sebaliknya yang mana Allah SWT juga akan menyempitkan rezeki seseorang apabila tidak memuliakan anak yatim.
Katanya, banyak lagi fadhilat dan janji Allah SWT terhadap mereka yang menyantuni anak yatim yang seharusnya menjadi rebutan semua untuk berbakti kepada anak-anak yang memerlukan tempat pergantungan dan paling tidak hulurkan sumbangan ikhlas dan sedekah jariah ke mana-mana rumah kebajikan anak-anak yatim yang terdapat di seluruh negara ini.

USTAZ MOHD. SHAHRUL NIZAM MOHAMAD YUNAN
Usia: 32
» Nama panggilan: Babo Jey
» Asal: Kg Kok Lintang, Gunong, Bachok, Kelantan.
» Sejarah Pendidikan:
Maahad Yaakubiah, Nipah, Bachok, Kelantan.
Maahad Amir Indra Petra, Beris Kubur Besar, Bachok, Kelantan
» 2009 – 2013 : Diploma Syariah, Kolej Islam Antarabangsa Ismail Petra (KIAS)
» 2013 – 2016: Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Syariah, KIAS
» 2016 – 2019 : Tarim, Hadramaut, Yaman.
» Jawatan hakiki: Tenaga Pengajar, Pembantu Tadbir Rumah Kebajikan Anak Yatim Dan Dhuafa’ Sri Peraksi
Tugasan sambilan: Editor video dan penterjemah bahasa Arab

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya