KUALA LANGAT: Kira-kira 30 meter permukaan jalan di Kilometer A0.2 Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) di susur menghala ke Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) di sini, hari ini dilitupi cecair kimia.
Kejadian tersebut berlaku susulan 120 tong cecair mengandungi 50 peratus zink oksida yang diangkut sebuah lori terjatuh ketika melalui selekoh di laluan berkenaan pada pagi tadi.
Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, tumpahan melibatkan bahan kimia seberat 200 kilogram (kg) setiap tong.
“Tumpahan berlaku sepanjang 30 meter di atas lebuhraya serta mengalir ke dalam parit di bawah lebuhraya. Anggota membuat tindakan penyekatan sisa cecair yang tumpah dalam parit agar tidak mengalir serta merebak.
“Pemandu memaklumkan ketika mengambil selekoh, penghadang kunci terbuka dan tong yang membawa bahan kimia itu terjatuh dan pecah di atas lebuh raya,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau menambah, bantuan daripada pasukan Hazmat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam di hantar ke lokasi.
Terdahulu, Ashrul Riezal memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.07 pagi dan menggerakkan sepasukan dari BBP Telok Panglima Garang ke tempat kejadian.
Pasukan penyelamat terdiri daripada 12 termasuk pegawai dan anggota dan dibantu oleh dua buah Fire Rescue Tender (FRT) dari BBP Telok Panglima Garang dan Shah Alam dan sebuah trak pikap utiliti. – UTUSAN











