Tujuh termasuk pemancing, tekong hilang di laut

Tujuh termasuk pemancing, tekong hilang di laut

Pemancing hilang
TUJUH pemancing termasuk seorang tekong dilaporkan hilang selepas menaiki sebuah bot dari Jeti Sementa di Kapar, Klang, semalam. - Gambar Maritim Malaysia Selangor
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Tujuh individu termasuk seorang tekong dilaporkan hilang di perairan berhampiran Pulau Ketam selepas keluar memancing menaiki sebuah bot dari Jeti Sementa, Kapar, di sini, semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor, Kapten Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, pihaknya menerima maklumat kecemasan pada pukul 3.35 pagi.

Katanya, susulan laporan tersebut, pihaknya terus mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) secara rasmi pada pukul 5 pagi.

“Aset Maritim Malaysia digerakkan seawal pukul 3.40 pagi. Aset laut dan udara digerakkan secara serentak bagi memperluas liputan pencarian serta meningkatkan keberkesanan usaha mengesan mangsa.

“Sektor pencarian di laut meliputi kawasan seluas 118.4 batu nautika persegi, manakala pencarian melalui udara meliputi kawasan seluas 509.6 batu nautika persegi di sekitar perairan One Fathom Bank,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Tambah Abdul Muhaimin, operasi itu dilaksanakan secara bersepadu bersama Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, Pasukan Polis Marin Pelabuhan Klang serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang.

“Aset Maritim Malaysia yang terlibat dalam operasi ialah Bot Penggalang 1 dan pesawat udara CL415MP (Bombardier), selain aset RH16 Pasukan Polis Marin dan sebuah bot aluminium milik JBPM.

“Maritim Malaysia akan terus menyelaras usaha pencarian bersama agensi terlibat dengan mengoptimumkan keupayaan aset laut dan udara bagi memastikan operasi Carilamat dilaksanakan dengan pantas, tersusun dan berkesan,” jelasnya.

Katanya lagi, operasi masih giat dijalankan berikutan ketujuh-tujuh pemancing termasuk tekong masih belum dapat dikesan dan dihubungi. Sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×