KUALA LANGAT: Banjir yang melanda Kampung Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Changgang di sini sejak semalam akibat ban Sungai Langat pecah mulai surut.
Malah, jalan-jalan utama di kawasan berkenaan sudah pun kembali boleh dilalui kenderaan-kenderaan kecil dan motosikal.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, laporan pemantauan bomba pada hari kedua menunjukkan trend air menurun.
“Pada pukul 9.30 pagi, komander operasi melaporkan trend air di lokasi menurut lebih setengah meter. Kerja-kerja pemantauan masih dijalankan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tambahnya, sehingga waktu tersebut juga seramai 546 mangsa banjir ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) RTB Bukit Changgang melibatkan 250 keluarga.
Malam tadi, Utusan Malaysia melaporkan Seramai 558 orang mangsa banjir dari 245 keluarga ditempatkan di PPS berkenaan sehingga pukul 10.20 malam.
Sementara itu, Exco Infrastruktur dan Pertanian, Datuk Izham Hashim memberitahu, pam mudah alih dan kerja-kerja membaik pulih sementara ban Sungai Langat yang pecah dilaksana dan akan disiapkan dalam tempoh dua hari bagi membolehkan limpahan banjir di sana, dikeluarkan.
Menurutnya, rebakan berlaku di sepanjang kira-kira 50 meter ban di Sungai Langat yang sedang dalam proses pengukuhan dimulakan baru-baru ini.
Selain itu, beliau mendakwa skru pam dekat kunci air di kawasan tersebut juga gagal berfungsi akibat kecurian kabel sehingga menyebabkan kerugian kira-kira RM200,000 bagi kerja-kerja baik pulih. – UTUSAN










